Kita tak ada masa layan Bersatu, kata pemimpin Umno

Kita tak ada masa layan Bersatu, kata pemimpin Umno

Umno tidak mempunyai masa melayan ugutan kerana sedang fokus kepada gerak kerja menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor, menurut Fathul Bari Mat Jahya.

Umno tidak sempat melayan ugutan Bersatu kerana gerak kerja jentera sudah dilancarkan di setiap kawasan dan bersedia untuk kemenangan di Johor, menurut Fathul Bari Mat Jahya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA :
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Fathul Bari Mat Jahya menggesa Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal Umno susulan ugutannya untuk mendedahkan kepincangan parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, Umno tidak mempunyai masa untuk melayan ugutan itu kerana pihaknya sedang memfokuskan gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor.

“Soal mendedahkan kepincangan Umno, itu soal dalaman Umno… krisis dalaman kami biar kami yang uruskan.

“Khabarnya ada menteri (Bersatu) nak lompat dan sebagainya, sepatutnya Bersatu selesaikan hal mereka dan fokus kemenangan di Johor dulu.

“Kami tak sempat nak layan ugutan ini kerana kita dah lancar gerak kerja jentera kita di setiap kawasan dan kita bersedia untuk kemenangan di Johor,” katanya kepada FMT.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kangar itu berkata demikian ketika diminta mengulas amaran Wan Saiful untuk mendedahkan kepincangan dalam Umno dan BN semasa mentadbir negara sebelum ini dan tindakan pemimpin parti itu pada masa ini.

Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, kesabaran Perikatan Nasional (PN) ada hadnya dan turut mengingatkan “kawan-kawan” Umno agar tidak “menguji yang bukan-bukan”.

Sementara itu, Fathul Bari turut mengingatkan Wan Saiful supaya tidak terlalu bersikap retorik tetapi terus bekerja bagi memastikan kemenangan Bersatu di Johor.

“(Sikap) itu cuma retorik. Takkanlah ‘level’ Wan Saiful, sahabat saya yang hebat ini nak melayan ‘cybertrooper’. Elok fokus kejayaan PRN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.