
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi contoh siasatan SPRM ke atas Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar, yang menurutnya “menjadi dingin” selepas beliau keluar PKR untuk menyokong bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Tahun lalu Azam berkata, Xavier disiasat berikutan penahanan kenalan rapatnya, M A Tinagaran.
Lim dalam kenyataan berkata, lima Ahli Parlimen PKR menolak sogokan atau diugut supaya berpaling tadah dengan menyokong Muhyiddin. Bagaimanapun tiada tindakan diambil terhadap mereka yang cuba mencetuskan pembelotan itu.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong yang juga berpaling tadah daripada PKR, mengakui beliau dijanjikan jawatan rasmi yang akan memberikannya platform untuk membina semula ekonomi negara.
“Adakah ini bukan satu bentuk sogokan untuk Choong melompat?
“Mengapa Ahli Parlimen yang melompat daripada pembangkang kepada kerajaan tidak didakwa sedangkan ia jelas untuk kepentingan jawatan kerajaan?” soalnya.
Pada masa sama, beliau juga mempersoalkan tiada tindakan yang diambil berhubung dakwaan rakaman audio Muhyiddin menawarkan jawatan dan kedudukan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan sebagai pertukaran kepada sokongan politik.
Katanya, Azam perlu memberi penjelasan mengapa tiada tindakan diambil dalam kes itu.