
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee berkata, pemberian subsidi itu mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90/kg dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90/kg.
“Tujuan pemberian subsidi untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos, terutamanya kos makanan yang meliputi 70% kos pengeluaran, selain kos logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, subsidi itu diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 5 Feb hingga 4 Jun ini yang membabitkan peruntukan berjumlah RM528.52 juta.
Ronald berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri untuk memastikan ia kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh serta dapat memenuhi keperluan tempatan.
Beliau berharap pemberian subsidi kepada penternak itu dapat menstabilkan bekalan, sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur pada harga berpatutan.