
Bagaimanapun katanya, pembukaan itu perlulah disusuli dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi mengekang penularan varian Omicron di negara ini.
“Pembukaan sempadan negara perlu dilakukan secepat mungkin memandangkan Sabah memerlukan pasaran antarabangsa untuk memulihkan sektor pelancongan.
“SOP yang ketat juga perlu disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) seterusnya diperincikan dengan lebih jelas kepada pemain industri bagi memastikan mereka bersedia sebelum sempadan negara dibuka kelak,” katanya dalam kenyataan.
Jafry berkata, kementeriannya juga bersedia untuk mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak termasuk pemain industri dalam membuat persediaan awal sekali gus merangka kempen promosi dan pemasaran bagi memastikan pelancong luar negara menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan utama mereka.
Beliau turut mencadangkan pelancong luar yang mahu ke Sabah mengambil pelan perlindungan insurans yang meliputi kos perubatan dan kemasukan ke hospital akibat kemalangan atau penyakit termasuk jangkitan Covid-19.
“Matlamat sekarang ini adalah kita mahu membuka sempadan agar industri pelancongan akan terus hidup dan dalam masa sama memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal,” katanya.
Sehingga kini, kerajaan negeri hanya membenarkan aktiviti pelancongan domestik.
Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia- Singapura (VTL) juga masih di peringkat perbincangan dan belum dilaksanakan di negeri Sabah.
“Kita perlu bersama-sama berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan bagi mencapai matlamat memulihkan industri pelancongan dan kembali menjadi antara penyumbang utama ekonomi di negeri ini,” katanya.