Menara ‘rebung’ TM bakal dijual

Menara ‘rebung’ TM bakal dijual

Struktur bangunan ikonik di ibu negara dengan 55 tingkat itu ditawarkan pada harga yang tidak didedahkan.

Menara TM dibina dengan kos sekitar RM669.3 juta dan memiliki status MSC, iaitu simbol kepada perkhidmatan berkelas dunia yang dianugerahkan oleh kerajaan. (Gambar Youtube)
PETALING JAYA:
Telekom Malaysia Bhd (TM) mengiklankan tawaran jualan aset miliknya, iaitu Menara TM yang terletak di pusat koridor KL Sentral-Bangsar.

Dalam satu iklan disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini, Menara TM yang menjadi struktur bangunan ikonik di ibu negara dengan 55 tingkat itu ditawarkan pada harga yang tidak didedahkan.

Tarikh tutup peringkat pertama bagi jualan Menara TM adalah pada 12 tengah hari, 18 Mac ini, menurut laporan Berita Harian.

Bangunan yang siap dibina oleh Telekom Research & Development Sdn Bhd pada 2001 berstatus pegangan bebas itu ketika ini dihuni sepenuhnya.

Menurut iklan berkenaan, Menara TM yang dibina sebagai bangunan pejabat lengkap dengan helipad menawarkan menara pejabat berkeluasan 989,000 kaki persegi, pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan pelbagai guna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan masjid.

Menara itu yang dibina dengan kos sekitar USD160 juta (RM669.3 juta) juga memiliki lebih 1,700 lot parkir dan terletak berhampiran infrastruktur sokongan seperti laluan pejalan kaki serta Stesen LRT Kerinchi dan Universiti.

Bangunan yang ketika ini menjadi ibu pejabat TM itu terletak berhampiran dengan KL Sentral, Mid Valley City, KL Eco City dan Bangsar South.

Menara TM memiliki status MSC, iaitu simbol kepada perkhidmatan berkelas dunia yang dianugerahkan oleh kerajaan.

WTW Real Estate Sdn Bhd adalah ejen pemasaran eksklusif bagi menara ke-10 tertinggi di Malaysia itu.

Sementara itu, TM dalam kenyataan berkata, ia tidak memiliki Menara TM, sebaliknya hanya menyewa bangunan yang terletak di Jalan Pantai Baharu itu.

“TM tidak memiliki bangunan berkenaan dan tidak terbabit dengan penjualannya oleh pemilik hartanah, iaitu Menara ABS Bhd,” katanya.

Menurut kenyataan itu, TM kini sedang dalam proses memindahkan sebahagian besar pejabat korporatnya ke hartanah miliknya termasuk TM Annexe 1 dan TM Annexe 2 serta hartanahnya di Cyberjaya sebagai sebahagian daripada program pengoptimuman syarikat untuk meningkatkan tahap kecekapan lebih tinggi dan menampung persekitaran kerja hibrid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.