Mahkamah larang Najib ‘sentuh’ aset bernilai hingga USD681 juta

Mahkamah larang Najib ‘sentuh’ aset bernilai hingga USD681 juta

Menerusi dokumen perintah diperoleh media, Najib juga tidak dibenarkan mengeluarkan wang daripada akaun bank melebihi RM100,000 sebulan bagi perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.

Menerusi dokumen perintah diperoleh media, Najib Razak tidak dibenarkan mengeluarkan wang daripada akaun bank melebihi RM100,000 sebulan bagi perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri Najib Razak diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi semalam bahawa beliau tidak boleh mengalih, melupus, mengendali atau mengurangkan nilai asetnya di dalam negara sehingga nilai USD681 juta.

Menerusi dokumen perintah diperoleh media, Najib juga tidak dibenarkan mengeluarkan wang daripada akaun bank melebihi RM100,000 sebulan bagi perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman, lapor Berita Harian.

Perintah itu dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman, Atan Mustaffa Yussof Ahmad dalam prosiding Zoom selepas membenarkan permohonan injunksi mareva sebelah pihak yang dipohon oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

Ia berkuat kuasa sementara menunggu keputusan akhir kes saman sivil USD8 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap Najib dan bekas pengurusan kanan 1MDB.

Berdasarkan perintah itu juga, Najib perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified yang bertindak sebagai plaintif pertama dan kelima dalam kes saman sivil berkenaan jika beliau memerlukan lebih daripada RM100,000 sebulan.

Najib boleh memohon dan mendapatkan kebenaran mahkamah sekiranya tiada kebenaran bertulis diberikan.

Perintah itu juga antara lain menyebut bahawa beliau mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga nilai USD681 juta sama ada di dalam atau luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Beliau hendaklah memberikan nilai, lokasi dan segala maklumat aset dan maklumat itu hendaklah disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima.

Jika keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini melebihi jumlah USD681 juta, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada USD681 juta.

Perintah terbabit juga menyatakan mana-mana individu dalam prosiding itu atau sebaliknya yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah atau boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian.

Tuntutan saman USD8 bilion itu adalah salah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih USD23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International, terhadap beberapa individu yang didakwa terbabit dalam skandal kewangan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.