Ketetapan dasar antilompat parti, had jawatan PM dibentang kepada Ahli Parlimen

Ketetapan dasar antilompat parti, had jawatan PM dibentang kepada Ahli Parlimen

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia bertujuan mendapatkan pandangan wakil rakyat dan Senator Dewan Negara mengenai cadangan peruntukan itu.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sesi libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengenai peruntukan dasar itu diadakan hari ini dan semalam di Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Ketetapan dasar mengenai peruntukan antilompat parti dan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri telah dibentangkan kepada Ahli Parlimen bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dasar tersebut dibincangkan Jawatankuasa Teknikal Transformasi dan Kestabilan Politik pada 25 Jan lepas.

“Sesi libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengenai peruntukan tersebut diadakan hari ini dan semalam di Parlimen.

“Ia bertujuan mendapatkan pandangan wakil rakyat dan Senator Dewan Negara mengenai cadangan peruntukan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, beliau bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang dan Jabatan Peguam Negara akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua parti komponen dan ketua parti bagi mendapatkan persetujuan berkaitan dasar dan perundangan dicadangkan.

Katanya, cadangan mengenai peruntukan itu juga akan dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik yang dipengerusikan bersama wakil kerajaan dan pembangkang, setelah dimurnikan dan dimuktamadkan dengan semua pihak berkepentingan.

Wan Junaidi memaklumkan beliau yakin kedua-dua sesi itu dan sesi akan datang dapat memberikan penerangan serta maklumat secukupnya kepada Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengenai cadangan tersebut.

“Pada masa sama, selain pengukuhan inisiatif dwipartisan, ia juga dapat memastikan cadangan peruntukan ini akan disokong dan dipersetujui di Parlimen kelak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.