Jangan berpolitik tafsir Perlembagaan, Ketua Hakim Negara beritahu hakim

Jangan berpolitik tafsir Perlembagaan, Ketua Hakim Negara beritahu hakim

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, hakim mesti mempertimbangkan konteks politik dan sosial di mana perlembagaan digubal.

Tengku Maimun Tuan Mat mahu hakim memahami peranan kehakiman dan diberi kepercayaan melaksanakan tanggungjawab dengan amanah.
KUALA LUMPUR:
Walaupun hakim mesti bersikap tidak berpolitik, namun dalam mentafsir Perlembagaan Persekutuan, mereka perlu mengambil kira konteks politik dan sosial di mana ia digubal, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Ini kerana, keputusan kehakiman tertakluk kepada keyakinan orang awam terhadap badan kehakiman, katanya.

“Justeru, hakim mesti memahami peranan kehakiman mereka dan diberi kepercayaan melaksanakan tanggungjawab dengan amanah,” katanya dalam ucapan khas menerusi Zoom, hari ini.

Ucapannya itu dibuat bersempena Syarahan Peringatan Tun Suffian ke-12 “Refleksi & Pengajaran Hakim Perlembagaan – Membuat Keputusan, Undang-undang & Politik, Kesahihan dan Penerimaan”.

Penceramah bagi tahun ini membabitkan bekas Hakim Mahkamah Perlembagaan Persekutuan Jerman Dieter Grimm.

Tengku Maimun berkata, pada satu tahap, peranan hakim dalam adjudikasi perlembagaan berkemungkinan kelihatan paradoks buat sesetengah pihak.

“Ini kerana, falsafah di sebalik tanggapan penghakiman adalah hakim mesti kekal tidak berpolitik dan bebas daripada berat sebelah mahupun campur tangan,” katanya.

Sehubungan itu, hakim mesti kekal tidak berpolitik, namun tidak boleh mengabaikan politik. Di situlah terletaknya paradoks kepada minda yang gagal memahami perbezaan di sebalik konteks politik dan politik,” katanya.

Tengku Maimun berkata, Mahkamah Persekutuan, sebagai contoh, pada 2018 mengesahkan dalam kes Indira Gandhi bahawa perlembagaan mesti ditafsir berdasarkan konteks sejarah dan falsafahnya.

Dalam memutuskan mana-mana penukaran kanak-kanak bukan Muslim berusia di bawah 18 kepada Islam mestilah mendapat kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa, kes berkenaan menekankan keluhuran perlembagaan bertulis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.