2 penjawat awam didenda RM15,000 kerana menipu

2 penjawat awam didenda RM15,000 kerana menipu

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan kerana menipu dan bersubahat memperaku pembayaran bagi Unit Kawalan Mutu Air bernilai RM9,536.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan bekas kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin, Melaka, masing-masing dijatuhi hukuman denda RM15,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan, iaitu menipu dan bersubahat memperaku pembayaran pembekalan peralatan tidak wujud.

Hakim Mahkamah Sesyen Jasin, Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nurhafizi Samat, 34, dan Mohd Zamry Yazid, 47, yang didakwa menipu dan bersubahat memperaku pembayaran bagi Unit Kawalan Mutu Air bernilai RM9,536, empat tahun lalu.

Elesabet menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan pertama; pertuduhan kedua, denda RM5,000 atau tiga bulan penjara dan pertuduhan ketiga, denda RM7,000 atau lima bulan penjara terhadap kedua-dua tertuduh.

Menurut laporan Berita Harian, tertuduh Muhammad Nurhafizi yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran didakwa menipu hingga mendorong kakitangan PKD Jasin, Mohd Ali Mansor memperakukan pembayaran kepada Perniagaan Pella Maju Enterprise, walhal pembekalan tidak dilaksanakan.

Mohd Zamry yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Unit Primer PKD Jasin pula didakwa bersubahat dengan Muhammad Nurhafizi untuk memperakukan bayaran perbekalan tidak wujud itu.

Perbuatan itu dilakukan di PKD Jasin pada 5 Nov dan 9 Nov 2018.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes Muhammad Nurhafizi bertugas di Unit Kawalan Mutu Air dan dipertanggungjawab menyediakan borang Nota Minta bagi permohonan pembelian bekalan.

Tertuduh kedua pula ditugaskan menjadi Peraku II untuk pembayaran bagi mana-mana perbekalan barang di bawah nilai RM19,999.

Hasil penipuan itu, tertuduh pertama dan kedua masing-masing mendapat wang tunai RM8,536 dan RM1,000.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat yang dibantu Syakila Yaacob berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan serius, iaitu menipu untuk mendapatkan dana awam bagi kegunaan peribadi.

Peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun merayu supaya anak guamnya, Muhammad Nurhafizi yang menghidap penyakit buah pinggang hanya dikenakan denda ringan dan tidak dipenjara.

Katanya, tertuduh sudah berkahwin dan menanggung dua anak kecil berusia lima dan tiga bulan, serta ibu bapa yang uzur dan ibu mentua.

Peguam Mohd Zulfiqri Zakaria yang mewakili Mohd Zamry juga merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh sudah insaf dan pengakuan bersalahnya menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.