Tak perlu periksa suhu badan di premis mulai 11 Feb

Tak perlu periksa suhu badan di premis mulai 11 Feb

Pemilik premis juga tidak perlu menyediakan buku rekod 'check-in' di pintu masuk premis.

PETALING JAYA:
Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod “check-in” di premis akan dimansuhkan mulai Jumaat ini.

“Namun ‘check-in’ menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan seperti biasa.

“Bagaimanapun sekiranya pemilik premis masih ingin meneruskan pelaksanaan SOP pemeriksaan suhu dan buku rekod ‘check-in’, kerajaan amat mengalu-alukan dan menggalakkannya,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, melalui mesyuarat Kuartet hari ini kerajaan melaksanakan SOP baharu bagi aktiviti umrah dan akan bermula pada 14 Feb ini.

Katanya, antara SOP baharu adalah individu bertanggungjawab atau “person in charge” (PIC) dari agen pelancongan perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di pintu masuk antarabangsa Malaysia.

Katanya, PIC perlu turut serta dengan jemaah sekiranya melebihi 40 orang atau disediakan bagi setiap tempoh tersebut untuk jumlah jemaah kurang dari 40 orang.

“Mewajibkan dos penggalak, membenarkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon HQA (permohonan kuarantin di rumah).

“Tetapi jemaah dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri,” katanya.

Hishammuddin berkata, bagi jemaah yang berangkat ke Tanah Suci hari ini sehingga 13 Feb, mereka terikat dengan SOP sedia ada.

Katanya, bagaimanapun, apabila mereka pulang semula ke tanah air, mereka diwajibkan mematuhi SOP baharu yang telah dikuatkuasakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.