SPRM tidak terima laporan dakwaan salah guna kad kredit ‘bos’ MARA Corp

SPRM tidak terima laporan dakwaan salah guna kad kredit ‘bos’ MARA Corp

Azam Baki berkata, pihaknya hanya akan mengambil tindakan jika ada laporan dibuat terhadap Pengarah Eksekutif MARA Corp, Suhaili Abdul Rahman.

Azam Baki berkata, fokusnya sekarang ialah dakwaan salah guna kuasa oleh lima pegawai kanan MARA Corp, iaitu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan elaun yang tidak sepatutnya.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima sebarang aduan mengenai dakwaan salah laku Pengarah Eksekutif MARA Corporation (MARA Corp), Suhaili Abdul Rahman berhubung penggunaan kad kredit korporat syarikat itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, pihaknya hanya akan bertindak jika ada laporan dibuat.

“Kena seseorang buat laporan kepada kita. Setakat ini kita tidak terima laporan apa-apa lagi.

“Kalau ada pihak buat laporan kepada polis terpulang, (itu) saya tak tahu. Fokus saya pada hari ini ialah (dakwaan) salah guna kuasa (oleh lima pegawai kanan MARA) iaitu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan elaun yang tidak sepatutnya dapat,” katanya kepada FMT.

Semalam, sebuah portal melaporkan salah seorang daripada lima pegawai MARA berkenaan membuat laporan mendakwa Suhaili menggunakan kad kredit MARA Corp untuk tujuan peribadi.

Suhaili menafikan dakwaan itu dalam wawancara eksklusif dengan FMT.

“Lagipun perbelanjaan itu semua atas urus niaga (rasmi). Bukan saya pakai kad itu naik ‘nightclub’ atau karaoke,” kata beliau.

Suhaili ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu serta Pengerusi Bersatu Bahagian Labuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.