
Pada sidang media petang tadi, Presiden NGO Coalition Johor, K Murushwaran antara lain menuduh Gopalakrishnan terbabit dengan salah guna butiran peribadi pegawai khas untuk membuat tuntutan palsu, menyeleweng dan salah guna peruntukan kerajaan negeri dan memohon peruntukan dengan menggunakan nama pertubuhan tidak wujud.
Beliau juga mendakwa Gopalakrishnan “secara tidak langsung terlibat dalam gangsterisme”.
Gopalakrishnan ketika dihubungi FMT menafikan semua dakwaan itu dan akan menjawab dakwaan berkenaan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu Murushwaran berkata, NGO beliau mahu PKR tidak meletakkan Gopalakrishnan sebagai calon di Ulu Tiram pada PRN Johor nanti.
“Jika PKR masih meletakkan beliau sebagai calon, kami akan bantah dan buat kempen menyokong calon lain bagi memastikan beliau tidak menang di DUN Tiram,” katanya kepada pemberita di pejabat NGO itu.
“Kami tidak berpihak kepada mana-mana parti, kami lakukan kerja kebajikan. Cuma kami tidak sokong beliau sebagai calon, itu sahaja.”
Katanya lagi, semua “bukti” sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan satu laporan polis dibuat pada 2019.
“Tetapi sehingga kini, siasatan hanya di atas kertas sahaja,” katanya, dengan menambah bahawa pihaknya mahu pihak berkuasa menyiasat aduan itu sehingga selesai.
Gopalakrishnan memberitahu FMT beliau tahu mengenai dakwaan itu sejak 2019 lagi.
“Sehingga sekarang saya tidak terima apa-apa panggilan (daripada SPRM), ini bererti tiada kes pun,” katanya.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini turut membidas Gopalakrishnan dengan mendakwa pengundi yang ditemuinya mengadu tidak diberi perkhidmatan sepatutnya.
Bagaimanapun Presiden MUDA itu kemudian memohon maaf dan memadam kritikan itu di media sosial.
MUDA dan Pakatan Harapan (PH) dilaporkan sedang berunding mengenai peruntukan kerusi bagi PRN Johor.