
Katanya, Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri, sebelum ini mengatakan perkara itu telah dipersetujui kerajaan persekutuan dan kelulusan diberikan kepada Ketua Menteri, Hajiji Noor.
“Maka secara automatiknya, konsep dan dasar ‘collective responsibility’ Kabinet negeri diaktifkan dan kita sekarang tahu Jemaah Kabinet sebenarnya tahu tentang perjanjian ini dari awal lagi.
“Oleh yang demikian, kita mahukan kertas putih mengenai NCA dikeluarkan kerajaan negeri, bukan lagi sekadar penerangan secara bersendirian oleh Kitingan,” katanya dalam kenyataan.
Loretto berkata, Kitingan perlu menyatakan dengan jelas berhubung kenyataannya mengatakan NCA perlu dilaksanakan dengan segera sebelum undang-undang persekutuan berkaitan dagangan karbon dikuatkuasakan.
Bagaimanapun katanya, Kitingan tidak menyatakan dengan jelas apakah undang-undang persekutuan mengenai dagangan karbon yang dimaksudkan itu.
“Ia mungkin merujuk Draf Akta Perubahan Iklim yang sedang digubal Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta usaha kerajaan persekutuan mempergiatkan dagangan karbon negara tahun ini melalui perbincangan antara Kementerian Kewangan, KASA dan Bursa Malaysia dengan kerajaan negeri.
“Beliau (Kitingan) juga memberi alasan Sabah mesti bertindak pantas untuk memiliki kuasa terhadap dagangan karbon negeri ini yang mampu menjana hasil cukup lumayan agar tidak jatuh ke tangan orang lain seperti mana Sabah kehilangan kuasa terhadap hasil minyak dan gas berbilion ringgit di negeri ini.”
Beliau berkata, alasan itu tidak memberikannya sebarang justifikasi untuk menasihatkan dan seterusnya mewakili Kabinet dan kerajaan negeri untuk terlibat dalam perjanjian senyap berkaitan pengurusan kawasan hutan Sabah berkeluasan hampir 2,000,000 hektar dengan firma luar negara yang tidak mempunyai sebarang rekod pengurusan dagangan karbon.
Loretto berkata, NCA yang ditandatangani secara senyap itu hanya diketahui 10 hari kemudian melalui Mongabay, portal antarabangsa berpusat di Amerika Syarikat yang memantau isu perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar sedunia.
“Jika Kitingan mahu bertindak pantas dalam konteks sebenar, maka beliau sepatutnya bertindak pantas menggunakan kelebihannya sebagai Timbalan Ketua Menteri yang mempunyai akses kepada kerajaan persekutuan untuk memaklumkan rakyat Sabah mengenai kemungkinan Sabah kehilangan hak terhadap hasil lumayan berikutan pengenalan undang-undang persekutuan mengenai dagangan karbon ini.
“Oleh demikian, saya nasihatkan Kitingan berhenti memikirkan beliau boleh bertindak sesuka hatinya hanya atas alasan ‘demi kebaikan Sabah’ kerana sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pertanian, dia sepatutnya sedar tentang protokol dan peruntukan undang-undang yang menghalang penyalahgunaan kuasa oleh sesiapa pun, termasuk menteri dan penjawat awam.”
Jika Kitingan mahu terus bertindak sesuka hati kerana beranggapan beliau lebih jujur, berpengalaman dan berpelajaran, beliau menyarankan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melucutkan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pertanian serta menjadikannya penasihat nombor satu kerajaan GRS.