MP Labuan mohon batal pertuduhan guna kedudukan dapatkan kontrak

MP Labuan mohon batal pertuduhan guna kedudukan dapatkan kontrak

Rozman Isli dalam permohonannya menyatakan pertuduhan dikenakan tidak berasas sama ada dari segi fakta, selain dilakukan dengan niat jahat termasuk salah guna proses mahkamah.

Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli, 58, memfailkan permohonan itu semalam menerusi Tetuan Law Practice of Rafique dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli memohon untuk membatalkan pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan sebuah syarikat di mana ahli keluarganya mempunyai kepentingan serta dibebaskan atas dakwaan itu.

Rozman selaku pemohon memfailkan permohonan itu semalam menerusi Tetuan Law Practice of Rafique dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Pihak media memperoleh notis permohonan daripada peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman selepas pengurusan kes itu hari ini di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

Berdasarkan permohonan itu, beliau juga memohon supaya prosiding kesnya di Mahkamah Sesyen digantung sementara sehingga selesai permohonan tersebut.

Permohonan itu dibuat antaranya atas alasan pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dikenakan terhadapnya tidak berasas sama ada dari segi fakta mahupun perundangan dan dilakukan dengan niat jahat selain menyalahgunakan proses mahkamah.

Sementara itu, Rafique ketika dihubungi pemberita berkata, mahkamah menetapkan 2 Mac ini untuk mendengar permohonan tersebut dan perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik.

Mahkamah sebelum ini menetapkan lima hari bermula 9 Mei untuk perbicaraan kes dan 42 saksi pendakwaan akan memberi keterangan.

Rozman, 58, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan, iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd dengan bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.