
Ini kerana Kelantan memerlukan hasil royalti itu bagi memastikan rakyatnya dapat menikmati pembangunan, kata bekas menteri persekutuan itu.
“Itu yang saya selalu timbulkan, Menteri Besar, menteri-menteri Kelantan … daripada PAS dan Umno, cakap la sikit isu (royalti) minyak petroleum yang saya timbulkan, (tetapi) diam semuanya.
“Yang perlu kita bangkitkan, mengapa pemimpin pusat tak suarakan soal minyak petroleum, sokong ke tak sokong,” kata Zaid dalam klip video yang dimuat naik di Facebook.
Beliau menjadikan Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed, yang menurutnya membawa pembangunan ke kawasannya, sebagai contoh.
“(Di Jeli ada) MRSM, universiti, pejabat-pejabat besar kerajaan dan bandarnya teratur. Saya percaya sebab Mustapa, (sebagai) wakil rakyat Jeli, berjaya bawa balik banyak peruntukan persekutuan untuk bangunkan Jeli.
“Tetapi kita hanya ada seorang Mustapa sahaja di Kelantan. Di jajahan lain, saya nampak mundur, tak ada pembangunan,” kata Zaid, yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Bharu.

Tahun lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan bahawa Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.
Katanya, ini kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri terbabit.
Pada 16 Jan lepas beliau berkata, kerajaan persekutuan telah menyalurkan RM400 juta wang hasil petroleum kepada kerajaan Kelantan pada 2020 dan 2021.
Sementara itu, Zaid turut mengulas kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri bahawa kerajaan akan mengambil pendekatan baharu dalam membasmi kemiskinan tegar secara holistik yang akan dilaksanakan secara bersasar berdasarkan keperluan lokaliti.
Zaid berkata, peruntukan sebanyak RM332.1 billion yang diumumkan dalam Bajet 2022 tidak cukup untuk membasmi miskin tegar di seluruh negara dan berharap hasil royalti petroleum dapat digunakan bagi pembangunan di Kelantan.
“Saya harap beliau ada duit lain (selain peruntukan Bajet) yang duit Petronas belum bayar di Kelantan sebab kita di Kelantan perlu pembangunan, perlu basmi kemiskinan, infrastruktur baharu. Kita tak ada sumber lain selain persekutuan,” katanya.