Mahkamah putus koroner boleh dengar perbicaraan hina mahkamah, jatuh hukuman

Mahkamah putus koroner boleh dengar perbicaraan hina mahkamah, jatuh hukuman

Ini termasuk dalam bidang kuasa hakim Mahkamah Sesyen yang bersidang sebagai koroner, kata panel tiga hakim Mahkamah Rayuan.

Mohd Kassim Abdul Hamid.Kassim memfailkan permohonan ex-parte untuk memperoleh perintah komital terhadap Tommy Thomas kerana didakwa menghina mahkamah melalui pemfailan afidavit ketika inkues kematian anaknya dijalankan.
PUTRAJAYA:
Hakim Mahkamah Sesyen yang bersidang sebagai koroner boleh mendengar dan menjatuhkan hukuman dalam perbicaraan penghinaan terhadap mahkamah, menurut Mahkamah Rayuan hari ini.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh hakim Suraya Othman itu juga memutuskan bahawa penghinaan boleh dihukum walaupun ia berlaku semasa prosiding atau di luar kamar mahkamah.

“Hakim Mahkamah Sesyen yang bersidang sebagai koroner mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan menghukum (mana-mana pihak) bagi sebarang penghinaan di dalam atau di luar mahkamah,” katanya ketika menolak rayuan bekas Peguam Negara Tommy Thomas.

Hakim lain yang bersidang adalah Abu Bakar Jais dan Hashim Hamzah.

Pada 28 Jan 2020, Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu, Meor Hashimi Abdul Hamid berkata, Mahkamah Koroner mempunyai bidang kuasa untuk memberikan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Thomas kerana memfailkan afidavit semasa inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Bagaimanapun, koroner tidak mendapati Thomas bersalah menghina disebabkan ketakdedahan fakta material oleh bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid.

Thomas merujuk kepada Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai isu bidang kuasa.

Kassim memfailkan permohonan ex-parte untuk memperoleh perintah komital terhadap Thomas kerana didakwa menghina mahkamah melalui pemfailan afidavit oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April 2019 yang menyatakan kematian anaknya bukan akibat kecederaan yang disebabkan seseorang.

Beliau juga menuduh Thomas melakukan penghinaan dengan mengeluarkan kenyataan media pada 28 Mei 2019 ketika inkues kematian Adib sedang dijalankan.

Thomas menyandang jawatan Peguam Negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020.

Suraya berkata, Mahkamah Majistret atau Mahkamah Koroner yang menjalankan inkuiri mengenai kematian seseorang bawah Kanun Prosedur Jenayah berbuat demikian sebagai mahkamah undang-undang.

(Sebelum ini, majistret turut memegang peranan koroner tetapi tugas itu kini diberikan kepada hakim Mahkamah Sesyen.)

“Memandangkan majistret sekarang menjalankan inkuiri sebagai mahkamah undang-undang, kami berpendapat bahawa majistret jelas mempunyai bidang kuasa untuk menghukum (mana-mana pihak) kerana menghina mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, pihak mahkamah tidak dapat menerima hujahan Ambiga Sreenevasan, iaitu peguam Thomas, bahawa tindakan hanya boleh dimulakan jika penghinaan berlaku di luar mahkamah kerana beliau mengguna pakai undang-undang kes di United Kingdom.

“Prinsip yang diperoleh daripada kes itu tidak terpakai disebabkan Seksyen 3(1) Akta Undang-undang Sivil 1956,” katanya.

Peruntukan itu menyatakan, mahkamah di Malaysia hendaklah menggunakan “common law” serta peraturan ekuiti yang wujud di England jika tiada undang-undang bertulis di Malaysia.

“Namun kita ada peruntukan perlembagaan dan undang-undang berhubung kuasa mahkamah untuk menghukum penghinaan.”

Suraya berkata, mahkamah rendah memperoleh kuasa berhubung penghinaan daripada Perenggan 26, Jadual Ketiga, Akta Mahkamah Rendah 1948.

Mahkamah membenarkan permohonan Ambiga untuk memfailkan rayuan berhubung isu bidang kuasa di Mahkamah Persekutuan.

Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Kassim, tidak membantah.

Hasilnya, panel itu mengekalkan keputusan berhubung dua rayuan dibuat Kassim sementara menunggu mahkamah tertinggi menentukan isu bidang kuasa tersebut.

Pada 27 Sept 2019, koroner Rofiah Mohamad memutuskan bahawa “lebih daripada dua orang yang tidak dikenali” telah membunuh Adib yang maut akibat kecederaan parah yang dialaminya ketika rusuhan di luar kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada November 2018.

Anggota bomba yang ketika itu berusia 24 tahun meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.