
Pada prosiding sebutan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa sepucuk surat berhubung perkara itu sudah dihantar kepada peguam responden pada 4 Feb.
Katanya, pihak pendakwaan menerima dua afidavit daripada responden dan akan meneliti serta mengkajinya sebelum mengambil tindakan lanjut, lapor Berita Harian.
Peguam Prem Ramachandran yang mewakili semua responden mengesahkan sudah menerima surat berkenaan dan mengemukakan afidavit berhubung sumber dana yang sah kepada pendakwaan.
Beliau berkata, pihaknya ingin memasukkan hujahan baharu.
Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin menetapkan 21 Jun untuk mendengar permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta berkenaan.
Terdahulu dilaporkan kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri Azeez, Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka, termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway milik syarikat mereka.
Pada 18 Dis 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan keluarga terbabit untuk menangguhkan prosiding saman kerajaan itu sementara menunggu perbicaraan kes rasuah Azeez yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen selesai.
Azeez, 54, kini dibicarakan atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang hampir RM140 juta yang didakwa diterima daripada Menuju Asas Sdn Bhd.
Perbicaraan itu bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan semua tuduhan di Mahkamah Rayuan.