Guru tahfiz didakwa liwat pelajar direman 7 hari

Guru tahfiz didakwa liwat pelajar direman 7 hari

Suspek berusia 23 tahun ditahan di Pekan, Pahang, kira-kira jam 11 malam tadi.

Rahsia suspek terbongkar selepas seorang pelajar pusat tahfiz itu tampil membuat laporan diliwat guru agama berkenaan, kata Ketua Polis Daerah Kemaman Hanyan Ramlan.
PETALING JAYA:
Seorang guru tahfiz di Kemaman, Terengganu, ditahan selepas disyaki meliwat beberapa penghuni berusia 12 hingga 14 tahun, di pusat tahfiz berkenaan minggu lalu.

Suspek berusia 23 tahun itu juga direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Hanyan Ramlan, berkata siasatan awal mendapati rahsia suspek terbongkar selepas seorang pelajar pusat tahfiz itu tampil membuat laporan diliwat guru agama berkenaan.

Beliau berkata, berikutan itu suspek ditahan di Pekan, Pahang kira-kira jam 11 malam tadi dan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini, untuk mendapat perintah reman.

“Polis mendapat perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini dan suspek sudah diberhentikan tugas oleh pengurusan pusat tahfiz itu.

“Kita percaya ada lagi pelajar lain yang turut menjadi mangsa dan meminta mereka tampil membuat laporan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Hanyan berkata, kes disiasat mengikut seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.