
Beliau berkata, laporan itu bertujuan mempertahankan kedaulatan negara.
“Hari ini, saya bersama rakan-rakan ke Pejabat SPRM untuk buat laporan berkaitan kes perjanjian NCA yang ditandatangani syarikat Hock Standard dan juga kerajaan negeri.
“Proses ini berjalan selama dua jam, di mana keterangan saya telah diambil dan saya diarah tidak memberitahu secara terperinci berhubung laporan saya, tetapi secara umum laporan ini berkaitan NCA yang telah ditandatangani.
“Ini juga tiada kaitan politik, tapi atas kesedaran sebagai rakyat Malaysia yang ingin mempertahankan kedaulatan negara kita,” katanya selepas membuat laporan itu di Pejabat SPRM di sini.
Sebelum ini, Presiden Warisan, Shafie Apdal mendakwa perjanjian NCA selama 100 tahun itu menyebabkan 2,000,000 hektar hutan di Sabah “diserahkan” kepada sebuah syarikat asing berpangkalan di Singapura.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan dalam kenyataan balasnya menegaskan NCA tidak melibatkan penjualan atau cagaran tanah hutan seperti didakwa Shafie.
Menteri Perikanan dan Pertanian Sabah itu berkata, sebaliknya NCA adalah perjanjian melibatkan perdagangan kredit karbon yang memberi manfaat kepada pemuliharaan hutan dan memberi hasil kepada kerajaan Sabah bagi membangunkan negeri itu.