
Runtuhan itu berlaku semasa Christine Ratnam dalam perjalanan pulang ke rumah melalui jalan di tebing bukit kawasan berkenaan, dengan tanah dan batu dari tebing yang runtuh itu menimpa kiri bahagian belakang Myvi yang dipandunya.
Anak saudara Christine, Sri Vythalingam menceritakan kejadian itu kepada pemberita dengan berkata, Christine terus memberhentikan kenderaan dan keluar menyelamatkan diri.
“Ada sebuah rumah banglo di bahagian atas tebing bukit itu, memang ada kerja pembinaan dijalankan di kawasan itu dan tebing itu mungkin runtuh susulan hujan lebat sejak 5 petang tadi,” katanya kepada Bernama.
Sri berkata, pemilik rumah banglo serta kontraktor terbabit memaklumkan mereka akan bertanggungjawab, selain turut bersedia membayar ganti rugi atas insiden berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai tebing sebuah rumah di kawasan itu runtuh lalu terkena sebuah kereta pada 5.30 petang tadi, bagaimanapun tiada mangsa cedera.