‘Rakyat lebih derita jika PN keluar kerajaan sekarang’, kata Muhyiddin

‘Rakyat lebih derita jika PN keluar kerajaan sekarang’, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin turut yakin dalam keadaan pandemik ketika ini rakyat tidak mahu berhadapan PRU15.

Muhyiddin Yassin berkata, rundingan pembahagian kerusi untuk PAS dalam PRN Johor telah selesai.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata sekiranya gabungan parti itu keluar daripada kerajaan sekarang ia hanya akan menyebabkan rakyat lebih menderita disebabkan Covid-19.

Muhyiddin turut yakin dalam keadaan pandemik rakyat tidak mahu berhadapan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Dalam keadaan pandemik, kalau tanya sini siapa yang nak tengok PRU? I just want to ask you, media. (saya nak tanya pemberita).

“Dalam situasi yang tak berapa orang kata menyeronokkan, tetapi kerana Bersatu memikirkan tentang kepentingan rakyat, kepentingan negara, supaya jangan rakyat terkorban disebabkan langkah bodoh kita,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media ketika ditanya mengapa Bersatu masih kekal di Putrajaya bersama Umno dan PN, di sebalik rasa saling tidak mempercayai satu sama lain sehingga mencetuskan pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sekiranya langkah itu diambil, rakyat akan mempersoalkan adakah kerajaan benar-benar mahu melihat rakyat terkorban.

“Nanti rakyat akan kata apa yang cuba kamu lakukan, dalam berhadapan Omicron, (rakyat akan tanya) kamu nak lihat kami terkorban?,” katanya.

November lalu, Muhyiddin yang juga ADUN Gambir dalam membidas veteran Umno Shahrir Samad, dilaporkan berkata dia tidak takut untuk ‘menekan butang’ bagi menumbangkan kerajaan Johor.

Muhyiddin turut mempersoalkan adakah semua pihak prihatin berkaitan kepentingan rakyat.

“Orang tanya saya tentang ‘tekan butang’ tapi adakah (ini) wajar dalam keadaan sebegini untuk kepentingan saya, parti saya?

“Jika kamu ada kuasa dan kamu menyalahgunakan kuasa hanya untuk kepentingan diri sendiri, dengan mengorbankan rakyat, saya rasa itu paling tidak bertanggungjawab,” soalnya.

Pembahagian kerusi

Sementara itu, Muhyiddin berkata pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen PN bagi PRN Johor dijangka selesai esok selepas berdepan isu pertindihan.

Katanya, rundingan mengenai pembahagian kerusi untuk ditandingi PAS menjelang PRN Johor setakat ini telah selesai.

“Mungkin esok akan selesai (pembahagian kerusi), sebab kita runding dengan PAS sudah selesai, cuma berbaki beberapa pertindihan dengan Gerakan yang tak banyak dalam dua hingga tiga kerusi.

“Tetapi pasukan setiausaha agung yang mengetuai pasukan rundingan akan cuba selesaikan dan kita akan maklumkan nanti,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berharap SOP Covid-19 yang akan diumumkan nanti tidak terlalu ketat sehingga menjejaskan perjalanan kempen PRN.

“Tapi dengan sebab kebimbangan kerajaan, jangan sampai tidak boleh berkempen. Saya harap ada sedikit pertimbangan, saya sedar ada kes Omicorn, bagaimana kita ‘balancekan’ ia.

“Kita harap ada sedikit ruang supaya demokrasi itu dibolehkan untuk menghadapi pilihan raya, jangan sampai tak boleh langsung (berkempen). Nak kenalkan diri tak boleh, itu jadi cabaran besar pada kita terutama part baru bertanding,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.