MBPP minta nasihat pakar selepas banjir kilat di jejantas tertinggi Malaysia

MBPP minta nasihat pakar selepas banjir kilat di jejantas tertinggi Malaysia

MBPP berkata pakar kejuruteraan dan jurutera perunding projek akan memberi nasihat teknikal susulan banjir kilat pada 5 Feb lalu.

Pada 5 Feb lalu kelihatan kenderaan terperangkap dalam banjir kilat di jejantas Jalan Bukit Kukus.
PETALING JAYA:
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapatkan nasihat pakar kejuruteraan dari Institut Jurutera Malaysia (IEM) untuk mengenal pasti punca banjir kilat di hujung jejantas Jalan Bukit Kukus pada Sabtu lalu.

MBPP dalam kenyataan berkata, pakar kejuruteraan dari IEM cawangan Pulau Pinang dan jurutera perunding projek akan memberi nasihat teknikal susulan banjir kilat itu.

Datuk Bandar Pulau Pinang, Yew Tung Seang bersama Setiausaha MBPP, Rajendran Anthony, wakil IEM Pulau Pinang dan kontraktor meninjau jalan pintasan itu pagi tadi sebelum berbincang bagi mencari penyelesaian jangka panjang masalah itu.

Pada 5 Feb lalu, banjir kilat berlaku di jejantas Jalan Bukit Kukus yang dibuka baru-baru ini akibat daun kering serta sampah-sarap menghalang laluan air keluar sistem perparitan ketika hujan lebat.

Video selama 10 saat kejadian itu tular di laman sosial dengan pengguna mengkritik dan kecewa projek itu tidak mempunyai sistem saliran yang baik.

MBPP berharap orang ramai mengambil tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.