Apa jadi pada projek sistem pembayaran tanpa tunai bersepadu, soal Anwar

Apa jadi pada projek sistem pembayaran tanpa tunai bersepadu, soal Anwar

Ketua Pembangkang berkata sehingga kini tidak ada sebarang sistem yang dibangunkan telah diguna pakai dan ia suatu pembaziran dana rakyat serta kerugian kepada negara.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mahu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi penjelasan berhubung tender itu yang dibuat syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOFI) bertujuan memulakan semula projek ICPS.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mempersoalkan projek pembangunan sistem pembayaran tanpa tunai bersepadu (ICPS) yang mahu ditender semula, selepas ratusan juta ringgit dibelanjakan.

ICPS yang dibangunkan Transit Acquirer Sdn Bhd (TASB), bertujuan digunakan bagi sistem pembayaran semua tambang kereta api dan bas di seluruh Lembah Klang.

Beliau mendakwa, projek itu bermula pada 2015 hingga 2018 dan beroperasi pada 2019.

“Namun, sehingga kini tidak ada sebarang sistem yang dibangun telah diguna pakai. Ternyata, ini suatu pembaziran dana rakyat dan kerugian besar kepada negara.

“Saya telah dimaklumkan awal tahun ini, syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOFI) mahu memulakan semula projek ini dan telah mengeluarkan satu tender untuk mengenyahkan 70% pemilikan dalam TASB yang dianggarkan bernilai RM400 juta,” katanya di Facebook.

Anwar berkata, terdapat banyak kekeliruan yang perlu dijawab oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung tender itu.

“Berdasarkan dokumen tender, TASB dikatakan bernilai RM400 juta. Atas dasar apa? Kenapa perlu dilupuskan pemilikan TASB yang mampu menjadi aset strategik negara? Kerajaan sepatutnya memilik dan menguruskannya,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa pemilikan sebanyak 70% TASB dijual dan siapa pula yang menentukan jumlah peratusan berkenaan.

“Kenapa tidak 0% atau 100% dari TASB? Kenapa MOF memberikan konsesi kepada TASB selama 20 tahun dan mengapa setiap operator transit perlu membayar kepada TASB bila mana setiap operator transit telah mempunyai vendor melaksanakan platform pembayaran terbuka dalam mendukung agenda nasional?” soalnya.

Anwar berkata, dalam dokumen tender, dinyatakan bahawa pembida yang berjaya akan ditentukan MOFI tanpa sebarang alasan, dan ia tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara MOFI.

“Ini jelas satu peluang dan alasan untuk salah guna kuasa dan rasuah. Justeru, adalah jelas bahawa TASB tidak sepatutnya dijual sehingga kerugian yang berlaku sebelumnya disiasat dan dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau berkata, MOFI tidak sepatutnya cuba untuk menutup kerugian dengan menjual syarikat tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.