‘Songlap’ duit kerani RM7,000, 2 beranak ditahan tipu pakej kahwin

‘Songlap’ duit kerani RM7,000, 2 beranak ditahan tipu pakej kahwin

Tangkapan itu hasil aduan diterima daripada seorang wanita berusia 24 tahun yang menjadi mangsa penipuan dua suspek terbabit.

Susulan tangkapan itu, polis turut merampas telefon bimbit dan beberapa dokumen dari sebuah pejabat milik dua beranak terbabit. (Gambar Polis)
PETALING JAYA:
Seorang bapa dan anak lelakinya ditahan polis kerana disyaki mendalangi kegiatan penipuan urusan tempahan pakej perkahwinan.

Kedua-dua suspek berusia 57 dan 25 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur dalam serbuan di sebuah rumah di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua JSJK Kuala Lumpur, Mohd Mahidisham Ishak, berkata tangkapan itu hasil aduan diterima daripada seorang kerani wanita berusia 24 tahun yang menjadi mangsa penipuan dua beranak itu, Khamis lalu.

“Sekitar Mei tahun lalu, mangsa mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan untuk majlis perkahwinannya daripada sebuah syarikat dan berminat dengan tawaran pakej perkahwinan termasuk dewan, katering, pakaian pengantin pasangan serta jurugambar.

“Mangsa kemudian membuat pembayaran deposit berjumlah RM7,265 namun syarikat itu gagal memberikan perkhidmatan seperti dijanjikan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mahidisham berkata, susulan tangkapan itu, polis turut merampas telefon bimbit dan beberapa dokumen dari sebuah pejabat milik dua beranak terbabit.

Katanya, semakan mendapati syarikat dikendalikan dua beranak itu mempunyai pendaftaran yang sah tetapi sudah menutup operasi awal tahun ini.

“Hasil siasatan, kita syak ramai lagi menjadi mangsa penipuan dua beranak ini. Justeru kita masih mengesan mangsa lain dan meminta mereka tampil membuat laporan,” katanya.

Suspek terbabit direman empat hari bermula semalam hingga 8 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.