PRN Johor: Bersatu Pengerang mohon pembangkang beri laluan PN lawan BN di 2 DUN

PRN Johor: Bersatu Pengerang mohon pembangkang beri laluan PN lawan BN di 2 DUN

Ketua Bersatu Pengerang Mohd Faizal Asmar berkata, parti pembangkang masih belum diterima oleh masyarakat Melayu di luar bandar.

Jentera PN Pengerang yang sudah bersiap sedia sejak Ogos 2020 yakin dengan penerimaan pengundi Melayu selain akan memberi saingan sengit dengan BN, menurut Mohd Faizal Asmar.
PETALING JAYA:
Bersatu Pengerang memohon agar parti pembangkang memberi laluan kepada Perikatan Nasional (PN) bertanding menentang Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar dan Tanjung Surat dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ketuanya Mohd Faizal Asmar berkata, persaingan tiga penjuru dalam PRN Johor perlu dielakkan sebagai mengambil iktibar kekalahan Pakatan Harapan (PH) di dua DUN tersebut dengan BN semasa pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Semasa PRU14, kedua-dua DUN ini ditandingi parti pembangkang tetapi malangnya ia kalah teruk dengan BN, kami sedar akan perkara itu dan mengambil iktibar akan kekalahan itu. Ini menunjukkan parti-parti seperti ini masih belum diterima oleh masyarakat Melayu di luar bandar.

“Oleh yang demikian kami berharap agar parti-parti ini mengambil sikap memberi laluan kepada PN untuk berlawan dengan BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, jentera PN Pengerang yang sudah bersiap sedia sejak Ogos 2020 dan yakin dengan penerimaan pengundi Melayu selain akan memberi saingan sengit dengan BN.

“Tambahan pula, semasa Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan, beliau telah berjaya membayar hutang-hutang peneroka Felda. Hasil ‘survey’ kami, mereka semua sangat terhutang budi dengan bekas Perdana Menteri itu.

“Oleh itu saya menyeru parti-parti ini berlapang dada memberi laluan untuk PN memberi saingan sengit kepada BN,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat pada 9 Feb untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian, yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari pembubaran DUN pada 22 Jan.

Pada PRU14 yang menyaksikan perebutan kerusi antara Umno dan PKR, di mana Umno memenangi kerusi DUN Penawar dengan majoriti 7,134 undi, manakala DUN Tanjung Surat pula dengan 4,522 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.