
Muhammad Mustaqim Mustafa, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikalnya bertembung sebuah lori sehingga tercampak ke mesin pembancuh simen di tepi jalan dalam kejadian kira-kira 1.10 tengah hari.
Menurut ibu mangsa, Zaitun Yusof, 57, emosi menantunya Sharifah Erin Nurshafieka Saiyed Azman, 20, terganggu sejak pemergian Mustaqim.
Katanya, anak bongsu daripada tujuh beradik itu diijab kabul Khamis lalu dengan majlis persandingan dirancang pada 26 Mac ini.
“Pernikahan anak saya sepatutnya dibuat Jun ini, namun diawalkan atas permintaan arwah dan tidak sangka terlalu cepat dia pergi meninggalkan kami.
“Menantu saya masih terkejut dan tetap menunggu kepulangan arwah walaupun jenazah sudah dikebumikan Tanah Perkuburan Kampung Beladau Selat,” katanya menurut laporan Kosmo.
Bapanya, Mustafa Ahmad, 60, berkata, nahas berlaku ketika anaknya dalam perjalanan pulang selepas menghantar bekalan ikan ke kedai makan berhampiran.
Katanya, perubahan sikap Mustaqim yang tidak bersungguh-sungguh menyiapkan kediaman baharu untuk dihuni bersama isteri di belakang rumah mereka merupakan petanda dia pergi buat selamanya.