Lebihan wang didepositkan dalam akaun milik kami, bukan pelanggan, kata CIMB

Lebihan wang didepositkan dalam akaun milik kami, bukan pelanggan, kata CIMB

Ralat pemprosesan mengakibatkan dana bank sendiri digunakan bagi transaksi pendua, bukan daripada pengirim atau pelanggan yang menerima, katanya.

Menurut CIMB, belum ada wang yang didebitkan daripada akaun pelanggan terjejas dan pihaknya sedang bekerjasama dengan pelanggan untuk mencapai penyelesaian yang adil dan terurus.
PETALING JAYA:
CIMB Bank Bhd (CIMB) menegaskan ia tidak membekukan akaun pelanggan seperti yang didakwa, tetapi hanya menahan wang yang secara tidak sengaja dimasukkan ke dalam beberapa akaun terbabit.

Katanya, ralat pemprosesan mengakibatkan dana bank sendiri digunakan bagi transaksi pendua, bukan daripada pengirim atau pelanggan yang menerima.

“Selaras dengan amalan perbankan bagi kejadian sedemikian, kami menahan dan memperuntukkan jumlah pendua yang telah diproses untuk mendapatkan kembali bayaran yang tersalah dibuat kepada pelanggan.

“CIMB ingin mengulangi bahawa terdapat ralat pemprosesan perkhidmatan kiriman wang pihak ketiga tertentu yang menyebabkan pemindahan dibuat kepada pelanggan diproses dua kali secara tidak sengaja,” kata bank itu dalam kenyataan.

“Ini mengakibatkan pelanggan yang terjejas menerima kredit pendua ke dalam akaun mereka, iaitu transaksi-transaksi yang menggandakan jumlah dana diterima pelanggan.”

Dua NGO membidas CIMB kerana didakwa membekukan 11,000 akaun akibat kesilapannya sendiri tanpa memaklumkan pelanggan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Agenda Reset Malaysia (ARM) memberi amaran, jika bank itu gagal mencapai penyelesaian yang memihak kepada pemegang akaun, mereka akan melancarkan kempen meminta rakyat memboikot institusi kewangan berkenaan.

Bagaimanapun, bank itu menegaskan, akaun yang terjejas tidak dibekukan dan pelanggan masih boleh menggunakan baki wang yang tidak termasuk dalam jumlah yang ditahan.

CIMB berkata, belum ada wang yang didebitkan daripada akaun pelanggan terjejas, sambil menambah, pihaknya sedang bekerjasama dengan pelanggan untuk mencapai penyelesaian yang adil dan terurus.

“Ini termasuk menyediakan bukti dan dokumentasi yang jelas mengenai kredit berganda dalam penyata bank mereka dan merumuskan skim pembayaran balik yang fleksibel berdasarkan keadaan individu,” tambahnya.

CIMB menyediakan talian khusus untuk dihubungi pelanggan di 03-22956188. Pelanggan yang terjejas juga boleh menghubungi pusat panggilannya di talian 03-62047788 untuk mendapatkan bantuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.