
Menurut mesej yang tular menerusi WhatsApp sejak semalam itu, laporan daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menyatakan bahawa terdapat tiga atau empat individu yang mendakwa daripada syarikat air atau elektrik melawat rumah-rumah atas alasan menukar mentol untuk penjimatan, namun kemudian melakukan rompakan bersenjata.
Ketua Polis Daerah Tapah Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mesej sebegini pernah ditularkan pada 2019.
“Hasil siasatan pihak polis, maklumat yang ditularkan adalah tidak benar. Tiada sebarang kejadian rompakan atau pencerobohan berlaku atau dilaporkan kepada pihak polis.
“Pihak polis Tapah tidak pernah mengeluarkan amaran mengenai kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengingatkan masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan jangan menggunakan media sosial untuk menyebarkan berita palsu yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.