Penglibatan Pejuang dalam PRN Johor amanah perlu dipikul, kata Dr M

Penglibatan Pejuang dalam PRN Johor amanah perlu dipikul, kata Dr M

Bekas Perdana Menteri itu berpesan kepada ahli partinya, jangan sesekali mundur ketika berdepan tidak kira apa rintangan dan cabaran.

Dr Mahathir Mohamad, yang menyatakan beliau kini beransur pulih, mengucapkan terima kasih kepada ahli Pejuang dan seluruh rakyat di negara ini yang mendoakan kesihatannya.
KUALA LUMPUR:
Penglibatan parti Pejuang dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor adalah satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul oleh setiap ahli, menurut pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Dalam surat kepada ahli parti yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini, beliau turut melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama dalam menghadapi PRN tersebut kerana masih perlu mendapatkan rawatan di hospital.

“Saya juga berdoa agar perjuangan kita akan sentiasa dirahmati dan mendapat keredhaan Allah SWT. Teruskan perjuangan dan jangan sesekali kita mundur tidak kira apa rintangan dan cabaran yang mendatang,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun tidak dapat bersama pada PRN, semangat dan jiwanya mengiringi ahli-ahli parti dalam setiap langkah.

“Bagi saya, perjuangan untuk negara tidak pernah ada noktah seperti juga melaksanakan ibadah yang perlu. Perjuangan juga bagi saya satu ibadah malahan satu amanah yang perlu kita pikul selagi hayat dikandung badan,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir yang menyatakan beliau kini beransur pulih, turut mengucapkan terima kasih kepada ahli parti dan seluruh rakyat di negara ini yang mendoakan kesihatannya.

“Insya-Allah saya akan kembali pulih seperti sediakala dan kita akan bertemu dan bersama-sama meneruskan perjuangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.