Dr M dibenar keluar IJN, jalani proses pemulihan di rumah

Dr M dibenar keluar IJN, jalani proses pemulihan di rumah

Perdana Menteri itu akan menjalani pemeriksaan susulan untuk meneruskan rawatan perubatannya apabila diperlukan dalam masa terdekat.

Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU), IJN pada 22 Jan lalu.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dibenarkan pulang hari ini pada 8.40 pagi.

IJN dalam kenyataan berkata Mahathir akan “meneruskan proses pemulihannya di rumah”.

Katanya, bekas Perdana Menteri itu akan menjalani pemeriksaan susulan untuk meneruskan rawatan perubatannya apabila diperlukan dalam masa terdekat.

Semalam, Mahathir menerusi satu video ringkas di media sosialnya berkata, beliau sudah kembali pulih tetapi tidak sepenuhnya selepas menjalani rawatan di IJN sejak awal bulan lalu.

Katanya, beliau akan pulang ke kediamannya setiap hari, sebelum kembali semula ke hospital bagi meneruskan rawatan susulannya.

“Saya ingin maklumkan bahawa saya sudah pulih, (walaupun) tak sepenuhnya. Tiap-tiap hari, saya balik ke rumah dari hospital.

“Saya balik dari pagi sampai petang, lepas itu saya balik (semula) ke hospital kerana masih ada prosedur yang mereka ingin teruskan,” katanya.

Terdahulu, pejabatnya memaklumkan, sejak Rabu lalu, Dr Mahathir dibenar pulang ke rumah dan kemudian kembali semula ke IJN untuk menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.

Katanya, Mahathir akan terus menjalani rawatan pemulihan dan buat masa ini masih dinasihatkan untuk tidak menerima kunjungan pelawat.

IJN pada 7 Januari lalu memaklumkan, Dr Mahathir sekali lagi dimasukkan ke institut itu untuk prosedur perubatan elektif.

Pada 23 Disember lalu, Dr Mahathir yang sebelum ini menjalani rawatan dan pemeriksaan di IJN dibenarkan keluar dari pusat rawatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.