
Beliau berkata, syarikat utiliti berkenaan telah mencatatkan peningkatan hasil pendapatan sebanyak 9.6% dan 4.6% masing-masing bagi sembilan bulan berakhir pada 30 Sept 2021.
“Tidakkah itu memadai apabila banyak lagi syarikat lain hampir tidak dapat bertahan? Tenaga (TNB) tidak seharusnya terlalu dilindungi dengan mengorbankan berjuta-juta perniagaan yang sedang bergelut dan cuba untuk bernafas semula akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.
Lim berkata, justeru kerajaan perlu membatalkan kenaikan tarif elektrik ke atas perniagaan dengan segera terutama dalam membantu menangani kebimbangan mendesak membabitkan sektor itu.
Katanya, antara kebimbangan yang digariskannya merangkumi ketidakupayaan mendapatkan pekerja sehingga memaksa sesetengah perniagaan “berehat”.
Beliau berkata, selain itu, kesan inflasi juga mengakibatkan lebih 1.6 juta pengguna komersial dan perindustrian perlu membayar sehingga hampir 20% lebih tinggi untuk elektrik mulai 1 Februari, sekali gus membawa kepada peningkatan harga bagi barangan dan perkhidmatan mereka.
Lim berkata, kerajaan juga gagal memenuhi janji mereka sendiri mempertimbangkan lanjutan moratorium pinjaman bank dan pengecualian faedah selama enam bulan lagi.
“Adakah kerajaan akan bertindak atau terus dibuai mimpi tidak melaksanakan tugas mereka dengan memberi tumpuan kepada survival politik mereka lebih daripada kepentingan rakyat?” katanya.
Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) sebelum ini kecewa kerana ia tidak dilibat urus berhubung kenaikan tarif elektrik.