PRN Johor: ‘Menteri Covid’ kena berlaku adil berkaitan SOP, kata Zahid

PRN Johor: ‘Menteri Covid’ kena berlaku adil berkaitan SOP, kata Zahid

SOP yang akan diperkenalkan tidak berat sebelah dan memberi ruang kepada parti bertanding pada PRN Johor.

Ahmad Zahid Hamidi juga mahu media sosial jadikan platform utama untuk menjalankan kempen.
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi meminta kerajaan terutama Kementerian Kesihatan supaya tidak menyalah guna kuasa berkaitan prosedur operasi standard (SOP), sebaliknya berlaku adil kepada semua parti politik sepanjang pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang.

Zahid berkata, apa jua prosedur operasi standard (SOP) yang tentukan oleh kerajaan, beliau akan mematuhinya dan tidak akan meminta pertolongan daripada Menteri Kesihatan.

“Saya tidak akan minta tolong Menteri Covid (merujuk kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin).

“Saya yakin beliau tidak akan menyalahgunakan kuasa sebagai menteri untuk negeri Johor. Beliau perlu berlaku adil kepada semua parti politik dalam menjalankan kempen PRN kali ini,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera BN Johor Wilayah Barat, malam ini.

Dalam pada itu, Zahid yang juga Presiden Umno turut mengarahkan semua jentera BN dan Umno supaya menggunakan media sosial sebagai platform utama sepanjang kempen PRN.

Katanya, PRN kali ini menyaksikan ramai pengundi baharu atau pengundi pertama kali layak mengundi kali ini.

“Saya menggesa supaya BN tidak lagi menggunakan kempen secara konvensional sebaliknya fokus kepada media sosial.

“Berikan kuasa untuk mengkoordinasikan kempen tanpa lisan ini kepada BN Core bersama Jabatan Penerangan Umno Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta semua jentera bekerjasama kerana pengundi mahu sesuatu isu dijawab segera dan melihat aktiviti dijalankan mengikut SOP.

Beliau turut mengingatkan semua parti komponen bergabung menyokong semua calon BN.

“Ketika ini, bukan masa sesuai kita berbeza pendapat, bukan sesuai diwawancara media…memberi pandangan peribadi, jaga hati rakan dalam BN dengan utamakan penyatuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.