Kumpulan lelaki bersenjata masuk Lahad Datu? Polis tak temui petunjuk

Kumpulan lelaki bersenjata masuk Lahad Datu? Polis tak temui petunjuk

Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah berkata tiada sebarang petunjuk mengesahkan sekumpulan lelaki bersenjata warga asing menyusup masuk ke Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah berkata, ESSCom telah menjalankan tindakan dari sudut risikan dan penyiasatan berkaitan perkara itu. (Gambar Facebook)
LAHAD DATU:
Tiada sebarang petunjuk ditemukan berhubung dakwaan sekumpulan lelaki bersenjata warga asing menyusup masuk ke Lahad Datu melalui perairan Long Patau, Tambisan pada 28 Jan lalu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Idris Abdullah.

Beliau berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah serta Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah menjalankan tindakan dari sudut risikan dan penyiasatan berkaitan perkara itu.

“Namun begitu, polis bersama pasukan keselamatan lain sentiasa memberikan perhatian mengenai keselamatan di pantai timur Sabah dan Sabah amnya daripada sebarang ancaman luar,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Idris dalam pada itu, menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang mengenai tahap keselamatan di negeri ini.

Menurut sumber, Bernama difahamkan seorang lelaki mendakwa melihat lebih 10 individu mencurigakan berpakaian celoreng serta bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan pada minggu lalu.

Lelaki berkenaan juga mendakwa kesemua individu itu dipercayai warga Filipina berdasarkan perbualan menggunakan bahasa Suluk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.