
Dalam satu kenyataan, pejabat bekas Perdana Menteri itu memaklumkan, Mahathir dibenarkan pulang ke rumah Rabu lalu selepas mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU), IJN pada 22 Jan, bagaimanapun kembali semula ke IJN untuk sesi fisioterapi dan lanjutan prosedur perubatan.
“Dr Mahathir akan terus menjalani rawatan pemulihan dan buat masa ini masih dinasihatkan untuk tidak menerima kunjungan pelawat,” menurut kenyataan itu.
Katanya, Dr Siti Hasmah Ali turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada orang ramai atas doa dan ucapan selamat kepada suaminya.
Pada 22 Jan lalu, pengamal media berkampung di IJN bagi mengikuti perkembangan tahap kesihatan Ahli Parlimen Langkawi itu yang didakwa berada dalam keadaan membimbangkan.
Beberapa pemimpin turut meluangkan masa menziarahi pemimpin veteran itu termasuk Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.