Alih tumpuan kepada kadar kemasukan ke hospital, kata pakar

Alih tumpuan kepada kadar kemasukan ke hospital, kata pakar

Pakar kesihatan berkata kadar kemasukan ke hospital akibat jangkitan Covid-19 boleh membantu orang ramai mengawasi situasi semasa.

Kadar kemasukan ke hospital akan membantu orang ramai mengawasi kemunculan varian baharu Covid-19, kata seorang pakar perunding pediatrik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pakar kesihatan menggesa kerajaan memberikan lebih tumpuan kepada kadar kemasukan ke hospital akibat Covid-19 bagi membantu orang ramai mengawasi kemunculan varian baharu dan sejauh mana kesan buruknya.

Pakar perunding pediatrik, Dr Amar-Singh HSS berkata, beliau percaya kadar vaksinasi yang tinggi di negara ini telah mengurangkan kadar jangkitan harian.

Menurutnya, peralihan tumpuan kepada kadar kemasukan ke hospital akan memberi gambaran mengenai tahap keseriusan pandemik dan sama ada varian yang mempunyai ketahanan terhadap vaksin telah muncul.

Katanya, ia juga akan membantu orang ramai mengukur sejauh mana perlindungan vaksin boleh kekal dari semasa ke semasa.

Baru-baru ini, majalah Fortune memetik beberapa pakar sebagai berkata, bilangan kes “tidak memberi gambaran secukupnya” mengenai risiko penyakit ketika varian Omicron muncul. Mereka mencadangkan kerajaan tidak lagi menggunakan kes harian sebagai pengukur.

Berdasarkan artikel itu, Sepanyol berhasrat untuk tidak lagi melihat kes harian dan Singapura pula “mempertimbangkan untuk tidak lagi menganggap bilangan kes sebagai penting”

Amar berkata, negara perlu “berjaga-jaga” dengan jumlah kes kerana ia perlu dikurangkan seboleh yang mungkin untuk mengurangkan risiko Covid berpanjangan.

Katanya, kebimbangan ketika ini adalah berkaitan kanak-kanak yang tidak divaksinasi dan individu lemah sistem imuniti badan atau berpenyakit kronik.

Hampir 80% populasi negara telah lengkap dos vaksin dan lebih 50% orang dewasa telah menerima suntikan dos penggalak.

Katanya, risiko untuk seseorang dewasa dimasukkan ke hospital akibat jangkitan baharu dengan varian Omicron selepas divaksinasi adalah sebanyak 1%.

Menurutnya, kebanyakan jangkitan itu tidak memerlukan penjagaan rapi.

“Dengan perubahan status imuniti dalam populasi, kerajaan tidak harus terlalu melihat kepada kes yang dilaporkan tetapi memberi tumpuan kepada bilangan kemasukan ke hospital,” katanya.

Namun Presiden Sunway University Dr Sibrandes Poppema yang juga pakar imunopatologi berkata, sebarang keputusan untuk tidak mengawasi kes harian seolah-olah seperti enggan melihat situasi sebenar memandangkan wabak Covid-19 belum diuruskan sebagai endemik.

Katanya, terdapat keperluan untuk mengira dan menyusun sampel mencukupi untuk mengetahui varian yang ada.

“Omicron mungkin kurang memberi gejala teruk tetapi (varian) Delta masih ada dan kemunculan varian baharu serta lebih serius juga tidak boleh dikecualikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.