Marina mohon maaf kaitkan ancaman ‘tembak’ pelarian dengan Ghazali

Marina mohon maaf kaitkan ancaman ‘tembak’ pelarian dengan Ghazali

Marina Mahathir mohon maaf atas kesilapan mengaitkan ancaman 'tembak' terhadap pelarian Vietnam pada 1970-an kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Ghazali Shafie.

Marina Mahathir berterima kasih kepada pembaca yang menegur kesilapan fakta dalam kolumnya.
PETALING JAYA:
Marina Mahathir memohon maaf atas kesilapan dalam kolum terbarunya di The Sunday Star baru-baru ini kerana mengaitkan ancaman “tembak” terhadap pelarian Vietnam pada 1970-an dengan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Ghazali Shafie.

Media melaporkan ancaman itu sebenarnya dibuat oleh bapanya, Dr Mahathir Mohamad, yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Dalam kolum 30 Jan, Marina antara lain berkata: “Saya pernah melalui detik-detik memalukan di luar negara apabila ahli politik kita berkata sesuatu yang bodoh dan kemudian cuba menutupnya.

“Pada penghujung 70-an apabila ramai pelarian Vietnam mendarat di pantai kita, Menteri Dalam Negeri ketika itu mengumumkan bahawa kita akan tembak (shoot) mana-mana pelarian yang mendarat di pantai kita.

“Seperti yang boleh dijangkakan, kemarahan dari seluruh dunia. Dia kemudian memberikan alasan standard ahli politik, katanya telah disalah petik kerana sebenarnya dia mahu kata ‘usir’ (shoo) mereka. Adakah sesiapa mempercayainya?”

Di Facebook hari ini Marina berterima kasih kepada pembaca yang menegur kesilapan fakta dalam kolumnya itu.

“Nampaknya saya juga tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan bodoh, jadi saya yang tersilap dan ikhlas memohon maaf.”

“Penulisan itu bukan sama sekali mahu mengubah sejarah seperti yang didakwa sesetengah pihak. Kesilapan itu semata-mata kerana ingatan lemah mengenai sesuatu yang berlaku semasa saya baru menjadi dewasa dan sedang cuba memahami dunia.

“Saya memohon maaf sepenuhnya kepada sesiapa yang tersakiti atau tersinggung dengan kesilapan ini,” katanya.

Marina bagaimanapun tidak menamakan Ghazali atau bapanya dalam permohonan maaf itu.

Akhbar AS, Washington Post pada 19 Jun 1979 melaporkan Perdana Menteri ketika itu, Hussein Onn, segera mengutus surat untuk meyakinkan Setiausaha Agung PBB, Kurt Waldheim, bahawa tiada dasar sedemikian.

Hussein berkata, langkah-langkah menghalang kemasukan pelarian Vietnam tidak termasuk tindakan menembak mereka.

Washington Post berkata, kenyataan Hussein itu bercanggah dengan kata-kata Mahathir seperti yang dilaporkan media, “yang menurut beberapa agensi berita, mengancam untuk menembak pelarian baharu dan kira-kira 75,000 orang di kem akan diusir ke laut”.

Beliau juga dilaporkan berkata, Malaysia membina bot untuk memudahkan pengusiran pelarian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.