
Walaupun sebelum ini sering melarikan diri dari rumah-rumah jagaan kerana lebih gemar hidup bebas, beliau menghabiskan bulan-bulan terakhir hidupnya bahagia di Rumah Orang Tua Jubli Perak.
Kisah hidup Uncle Beng mendapat perhatian setelah dilaporkan FMT pada Mac 2020, apabila beliau ditemui cedera di kepala di dalam beca yang diletakkan di luar kedai kopi kegemarannya, Kafe Lai Heng 88, berhampiran Komtar.
Beliau menanti kedai kopi itu dibuka untuk mendapatkan “kopi o peng” kegemarannya, namun kedai itu tutup dan jalan-jalan sunyi daripada kehadiran orang ramai.

“Beliau tak tahu waktu itu sedang ‘lockdown’,” kata Dr Ooi Ben Shyen, atau Ben yang menemui Uncle Beng bersendirian, menunggu kedai kopi yang tidak akan dibuka.
Warga emas itu memberitahu Ben, beliau selalunya mengayuh beca pada waktu siang dan tidur di dalamnya pada waktu malam. Bagaimanapun, ketika ditemui, beliau baru terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta, dan dengan kecederaan dialaminya, beliau tidak lagi dapat mengayuh beca dan hanya mengharap sumbangan orang ramai.
Selepas Ben merawatnya, beliau memaklumkan pengikut media sosialnya mengenai nasib Uncle Beng dan meminta sumbangan bagi rawatan perubatan warga emas itu dan supaya beliau dapat tempat berteduh.
Sumbangan mencurah masuk daripada rakyat Malaysia yang budiman, membolehkan Uncle Beng mendapatkan rawatan dan tempat tinggal yang selamat.

Ben memberitahu FMT, Uncle Beng meninggal dunia dalam tidur pada penghujung tahun lepas.
Selepas berita kematian Uncle Beng tersebar, ramai bekas penumpangnya, termasuk pelajar yang pernah dihantarnya ke sekolah, kembali mengingati ihsan pengayuh beca itu.
Beliau memanggil mereka “anak-anak becanya” dan sentiasa bermurah hati terhadap mereka.
Walaupun Uncle Beng tidak memiliki banyak harta benda, beliau menggunakan seberapa yang mampu daripada apa yang diraihnya sebagai pengayuh beca untuk membelanja penumpang-penumpang mudanya, seperti membelikan ais krim.
Hubungan Ben dengan Uncle Beng memberi kesan mendalam terhadap doktor muda itu.

“Sebagai seorang doktor unit kecemasan, saya dapat lihat tak ramai yang mampu mendapatkan rawatan perubatan, mampu membantu diri sendiri, atau ada sesiapa untuk membawa mereka ke hospital dalam situasi kecemasan,” katanya.
“Daripada Uncle Beng, saya belajar, tak kisah siapa diri kita, apa sahaja kedudukan kita dalam masyarakat, kita boleh membuat perbezaan dalam kehidupan orang di sekeliling kita. Tak perlu banyak untuk berbudi kepada orang lain.”
Di jalanan George Town, Uncle Beng banyak memberi pengajaran mengenai kehidupan kepada mereka yang ditemuinya setiap hari. Namun, mungkin yang terutama sekali adalah tidak kisah berapa kecil kemampuan kita, sentiasa ada cara untuk beri kegembiraan kepada orang di sekeliling kita.