Bot pelancong berlanggar dikesan bawa penumpang berlebihan, kata Jabatan Laut

Bot pelancong berlanggar dikesan bawa penumpang berlebihan, kata Jabatan Laut

Siasatan mendapati, penumpang terdiri daripada 15 dewasa, 13 kanak-kanak dan seorang bayi serta dua kru, tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian di Kuala Besut kira-kira 3.30 petang semalam.

Muhammad Shuhaimi Abd Rahman, berkata siasatan awal juga mendapati nakhoda bot yang didaftarkan di lesen, adalah berbeza dengan nakhoda semasa kejadian dan lesen bot tersebut dilaporkan telah tamat tempoh pada 10 Jun lepas. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU:
Bot pelancong berlanggar dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut petang semalam, didapati membawa penumpang berlebihan iaitu seramai 29 orang, berbanding 12 yang dibenarkan.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Ibu Pejabat Laut, Jabatan Laut Malaysia (JLM), Muhammad Shuhaimi Abd Rahman, berkata keadaan itu, menyebabkan bot pelancong tersebut sukar dikawal, selain dipengaruhi faktor cuaca iaitu ombak dan arus laut yang kuat.

Katanya siasatan secara lisan turut mendapati, penumpang yang terdiri daripada 15 dewasa, 13 kanak-kanak dan seorang bayi serta dua kru, tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

“Akibat pelanggaran tersebut, kesemua penumpang serta kru bot pelancong dan bot nelayan jatuh ke dalam air, dan telah diselamatkan oleh anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

“Seramai 22 orang dibawa ke Klinik Kuala Besut untuk mendapatkan rawatan susulan, dengan 11 orang daripadanya iaitu dua kritikal, lapan separa kritikal dan seorang cedera ringan, telah dirujuk ke Hospital Besut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu, Shuhaimi berkata siasatan awal juga mendapati nakhoda bot yang didaftarkan di lesen, adalah berbeza dengan nakhoda semasa kejadian dan lesen bot tersebut dilaporkan telah tamat tempoh pada 10 Jun lepas.

“Pemilik bot juga telah mengalihkan bot yang terlibat kemalangan dan menanggalkan nombor pendaftaran, bagi mengelirukan Pejabat Laut Kuala Besut,” katanya.

Menurutnya penumpang juga dilaporkan menaiki bot di jeti pendaratan persendirian yang tidak sah, dan bukan di bawah seliaan JLM, selain jeti tersebut juga jauh daripada kawalan JLM.

Katanya antara jeti persendirian tidak sah yang sering digunakan pelancong untuk ke Pulau Perhentian dan Pulau Redang dari Besut adalah seperti di tepi pesisir pantai, Bukit Kluang, Pulau Rhu, dan di Sungai Kampung Raja.

“Jeti Penumpang Jabatan Laut Malaysia masih ditutup ekoran fasa Monsun Timur Laut 2021/2022 yang bermula 3 Nov lepas, dan dijangka berterusan sehingga Mac ini. Hujan berterusan, angin kencang dan laut bergelora berisiko mengancam keselamatan bot-bot untuk beroperasi di laut,” katanya.

Dalam pada itu Shuhaimi berkata, pengusaha bot terbabit boleh dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan tindakan saman di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952, jika didapati bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.