Polis teliti SOP, kenal pasti individu rancak ‘berpesta air’ di taman tema

Polis teliti SOP, kenal pasti individu rancak ‘berpesta air’ di taman tema

Pengurusan taman tema itu berkata, kapasiti kolam air yang terpapar menerusi video itu boleh memuatkan sehingga 500 individu pada sesuatu masa.

Tular beberapa klip video memaparkan sekumpulan individu beriadah di taman tema air sambil diiringi alunan muzik rancak dengan sebahagian daripada mereka sedang menari.
PETALING JAYA:
Polis sedang meneliti fakta berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 membabitkan sebuah taman tema di Tambun, Ipoh, Perak.

Ia susulan klip video yang tular di media sosial memaparkan aktiviti riadah air sekumpulan pengunjung baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Yahaya Hassan berkata, individu yang terbabit sedang dikenal pasti bagi menentukan sama ada berlaku ketidakpatuhan SOP oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata, semakan polis dengan pihak pengurusan taman tema terbabit mendapati kejadian yang dipaparkan dalam video berkenaan berlaku pada Sabtu lalu antara jam 1 tengah hari hingga 6 petang.

Yahaya berkata, pihaknya difahamkan oleh pengurusan taman tema berkenaan bahawa kapasiti kolam air yang terpapar menerusi video itu boleh memuatkan sehingga 500 individu pada sesuatu masa.

“Mereka turut memaklumkan bahawa ketika kejadian kapasiti pengunjung di kolam itu tidak melebihi 50%.

“Polis sedang diteliti fakta berhubung pelanggaran SOP membabitkan mana-mana pihak dalam kejadian itu dan individu yang terbabit juga sedang dikenal pasti,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video berkenaan yang boleh menjejaskan siasatan yang dijalankan.

Terdahulu, tular beberapa klip video memaparkan sekumpulan individu beriadah di taman tema air sambil diiringi alunan muzik rancak dengan sebahagian daripada mereka sedang menari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.