Amang seksual terhadap pelajar, guru tahfiz diarah bela diri

Amang seksual terhadap pelajar, guru tahfiz diarah bela diri

Perintah itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan Mohamad Ajmal Mohamed Khairi membela diri atas satu pertuduhan melakukan amang seksual ke atas pelajar lelaki berusia 14 tahun, empat tahun lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang guru sebuah maahad tahfiz yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki pada 2018 diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Hasbullah Adam, memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohamad Ajmal Mohamed Khairi, 26, dalam rayuan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

“Pendengaran penuh bagi rayuan kes ini ditetapkan pada 25 Januari lalu dengan pihak perayu (pendakwaan) dan responden (Mohamad Ajmal) bersetuju supaya dibuat pada penghujahan bertulis difailkan pihak-pihak.

“Setelah meneliti rekod rayuan serta mengambil kira hujahan bertulis oleh pihak-pihak, mahkamah mendapati bahawa wujud kes prima facie bagi pertuduhan pertama, iaitu kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta 792 yang dibaca bersama dengan Seksyen 16 Akta yang sama,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Menurutnya, mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kesalahan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

“Justeru, mahkamah memerintahkan rayuan pendakwaan dibenarkan dan tertuduh dipanggil membela diri bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Ampang.

“Seterusnya, kes disebut semula di mahkamah berkenaan pada jam 2 petang hari ini,” katanya dalam penghakiman.

Berdasarkan rekod, Mahkamah Sesyen Ampang pada 4 Okt 2019 melepas dan membebaskan Mohamad Ajmal selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi tiga pertuduhan dihadapi guru terbabit.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Ajmal didakwa sebagai guru kepada pelajar itu melakukan sentuhan seksual fizikal ke atas remaja lelaki itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membuat remaja itu menyentuh kemaluan tertuduh mengikut Seksyen 14 (b) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman sama.

Selain itu, dia juga dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa sama mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang sekiranya disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan.

Permohonan rayuan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali manakala responden diwakili peguam Ahmad Ishrakh Saad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.