Tiada ADUN tarik sokongan, pentadbiran Kedah baik, berjalan seperti biasa, kata Sanusi

Tiada ADUN tarik sokongan, pentadbiran Kedah baik, berjalan seperti biasa, kata Sanusi

Menteri Besar Kedah itu menafikan dakwaan ada ADUN akan menarik sokongan daripada kerajaan dan menyifatkannya sekadar khabar angin.

Muhamad Sanusi Md Nor menyifatkan dakwaan ada dalam kalangan ADUN negeri itu didakwa akan menarik sokongan kepada kerajaan negeri sebagai khabar angin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Muhamad Sanusi Md Nor menyifatkan dakwaan ada dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu akan menarik sokongan kepada kerajaan negeri sebagai khabar angin.

Beliau berkata, pentadbiran negeri masih berjalan seperti biasa dan tiada ADUN memaklumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri ketika ini serta menafikan kerajaan pimpinannya kini goyah susulan khabar angin berkenaan .

“Alhamdulillah Kedah baik. Memang tidak ada isu di Kedah, kita aman ketika ini. Kita tidak ada buat orang marah,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Memetik laporan Berita Harian, Sanusi menjelaskan beliau sedia berbincang dengan mana-mana pihak pada bila-bila masa bagi membincangkan sebarang isu yang timbul berkaitan negeri.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pos Aviation dan KLIA College.

Semalam, tular dakwaan di media sosial kononnya dua ADUN Umno dan dua ADUN Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan keluar kerajaan negeri menyebabkan kemungkinan kerajaan negeri goyah.

Bagaimanapun, semakan terkini mendapati hantaran itu dipercayai sudah dipadamkan pemilik akaun terbabit, namun tangkap layar yang dibuat pengguna lain masih tular sehingga kini.

Sementara, ADUN Bandar Baharu, Nor Sabrina Mohd Noor, daripada Umno yang dikaitkan dengan hantaran tular terbabit, menafikan dakwaan berkenaan.

Katanya, beliau hanya mengetahui dakwaan bahawa dua ADUN Umno akan keluar dari kerajaan negeri selepas menerima mesej itu daripada kenalan semalam.

“Persoalannya, hanya ada dua ADUN yang dimaksudkan itu. Maknanya kamilah (saya dan ADUN Sungai Tiang, Suraya Yaacob).

“Apabila ditanya mengenai mesej ini, kami tidak pernah bincang atau ada perkatakan (tarik sokongan), saya buat kerja macam biasa dan hubungan (bersama kerajaan negeri yang diterajui PAS) pun macam biasa.

“(Saya) fikir pasal kerajaan Kedah, apa yang hendak dimajukan di Kedah, tingkatkan prestasi dan jangan cari kontroversi,” katanya.

Pada Mei 2020, Perikatan Nasional (PN) dianggotai PAS, Bersatu dan Umno berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat sokongan 23 ADUN.

Untuk rekod, ketika ini PAS memiliki 15 kerusi, Bersatu enam kerusi dan Umno dua kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memiliki 11 kerusi serta Pejuang dua kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.