
Pasangan berkenaan, yang sebelum ini langsung tidak menyedari sejumlah wang dalam WTD sehinggalah menerima panggilan berkenaan, dimaklumkan syarikat terbabit mampu mengeluarkan wang itu dengan bayaran komisen 23% diambil daripada wang berkenaan, yang akan dibayar selepas menerima tuntutan.
Ejen hartanah, Wilson Moorthy, 55, berkata kebimbangan mereka sebenarnya membabitkan kebocoran data serius, terutama membabitkan maklumat sejumlah wang di bawah nama isterinya, termasuk perincian maklumat peribadi.
“Pemanggil itu mempunyai perincian penuh maklumat peribadi isteri saya, seperti nama penuh dan nombor MyKad.

“Bagaimanapun, bagi mendapatkan capaian berhubung sejumlah wang tidak dituntut di bawah nama isteri saya di Jabatan Akauntan Negara sangat membingungkan.
“Sepatutnya, maklumat seumpama itu terlalu peribadi dan tidak seharusnya diberikan kepada pihak ketiga.
“Saya mahu tahu siapa pengarah syarikat yang menawarkan khidmat itu. Saya juga mahu tahu sekiranya syarikat itu mempunyai kuasa melakukan tindakan sedemikian oleh Kementerian Kewangan, yang mempunyai bidang kuasa dalam jabatan kerajaan itu,” katanya kepada FMT.
Wilson berkata, ejen syarikat itu juga mendakwa mereka mempunyai tahap kejayaan tinggi mendapatkan semula WTD, sambil menunjukkan testimoni pelanggannya yang menggunakan khidmat syarikat berkenaan.
Mengikut amalan semasa, pihak yang ingin menuntut WTD boleh berbuat demikian tanpa sebarang caj, secara peribadi mahupun secara atas talian.
Namun, dalam kes membabitkan isterinya, Wilson berkata, WTD berasal dari syarikat insurans yang digazetkan pada 2019.
Wilson berkata, ejen syarikat itu mempunyai borang mengandungi maklumat peribadi isterinya untuk baginya menuntut WTD bagi pihaknya.
“Bagi mereka yang tidak pernah mendengar berkenaan sistem ini mungkin secara membuta tuli mempercayai apa yang dikatakan ejen itu dan membayar 25% bayaran komisen,” katanya.

Dalam pada itu, peguam, George Varughese, menggesa semua pihak agar berwaspada berhubung memberi kebenaran dalam bentuk borang, yang mana secara asasnya dokumen berkenaan memberi “kuasa peguam” yang dibimbangi disalahgunakan untuk menuntut perkara lain.
Katanya, isu lebih serius adalah membabitkan penyalahgunaan data peribadi menerusi panggilan tidak dikenali, selain mendedahkan maklumat peribadi tanpa kebenaran.
“Kerajaan sepatutnya mengambil tindakan proaktif memberi kesedaran kepada semua pihak berhubung cara sebenar melakukan tuntutan, termasuk memudahcara baik secara peribadi mahupun secara atas talian,” katanya.
Pemeriksaan FMT dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mendapati syarikat ejen berkenaan diperbadankan pada April lalu, dengan modal berbayar RM3,000.
Ketika dihubungi FMT, ejen itu berkata, firma perunding berkenaan beroperasi secara sah dan syarikat beroperasi bergantung kepada kebenaran pihak yang mahu menuntut.
“Kebanyakan pelanggan kami tidak mengetahui kaedah menuntut WTD. Jadi, sebab itu kami berhubung untuk memaklumkan kepada mereka. Kami tidak memaksa.
“Semua maklumat berhubung WTD diterbitkan dalam Jabatan Arkib. Pengurusan tertinggi firma saya yang mendapatkan perincian pelanggan kami,” katanya.
Katanya, syarikat berkenaan tidak mengambil sebarang wang pendahuluan, termasuk tidak mempunyai bayaran tersembunyi.
“Kami hanya akan mengemukakan invois selepas wang berjaya diperoleh,” katanya.
Dilaporkan, jumlah WTD kini sudah mencapai RM10.8 bilion, sejak Oktober 2019.