
Menurutnya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sudah pun bergelut akibat dilanda pandemik Covid-19 dan kenaikan kadar itu sekitar 11 hingga 18.4% bermula bulan depan pastinya akan menghalang pemulihan.
Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) William Ng berkata mereka khuatir kerajaan membenarkan langkah itu ketika ini apabila terdapat banyak PKS yang sukar untuk melakukan pemulihan.
“Bagi kebanyakan PKS, terutama dalam sektor pembuatan, elektrik adalah faktor kos kedua atau ketiga selain bahan mentah dan kos buruh.
“Kenaikan bil utiliti sehingga 18.4% bermaksud keuntungan akan berkurangan antara 20% dan 40%.
Menurut Suruhanjaya Tenaga, kenaikan itu akan menjejaskan lebih 1.6 juta pengguna komersial dan industri.
Ng berkata persatuan telah menggesa ahlinya untuk mengelak daripada menaikkan harga biarpun terdapat kenaikan bil elektrik dan kos bahan mentah.
Bagaimanapun, kerajaan juga harus memahami bahawa kebanyakan PKS sedang beroperasi dalam “margin yang tipis”.
“PKS masih bergelut dengan kemelutan ekonomi,” katanya.
“Sekiranya kenaikan ini diteruskan seperti yang diumum, adalah hampir mustahil bagi perniagaan untuk menyerap kos tambahan tanpa menyalurkan sebahagiannya kepada pengguna, seperti yang dilakukan oleh Tenaga Nasional sendiri.”
Kata Ng, walaupun pihaknya dapat memahami keperluan untuk pelarasan harga secara berkala, namun mereka tidak dapat menerima kuantum diluluskan, terutamanya ketika TNB melaporkan lonjakan hasil dan pendapatan sebanyak 9.6% dan 4.6% masing-masing untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun lepas.
“Ketua Pegawai Eksekutif TNB Baharin Din juga sebelum ini dipetik sebagai berkata, ‘…peningkatan dalam permintaan dijangka bertambah baik pada beberapa bulan akan datang dan tahun depan (2022) apabila lebih banyak aktiviti ekonomi dibuka’.
“Oleh itu, tidak ada sebab untuk kenaikan bil secara mendadak.”
Beliau menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk bertindak menyelamatkan PKS yang terjejas teruk akibat kenaikan itu.
“Jika kenaikan ini terus dibenarkan, maka kami menggesa Jemaah Menteri untuk mempertimbangkan kuantum kenaikan yang lebih munasabah tanpa menjejaskan keuntungan berterusan Tenaga Nasional atau ‘prestasi berdaya tahan’ syarikat tersebut.”
Pengguna komersial dan industri, selain ketiadaan rebat 2 sen/Kilowatt jam (kWj) yang diberikan sebelum ini, akan dikenakan surcaj sebanyak 3.70 sen/kWj dalam bil elektrik mereka.
Ismail berkata semalam kerajaan telah membelanjakan lebih RM1 bilion subsidi kepada pemain industri dan syarikat sebelum ini.
“Konsep subsidi ini adalah salah kerana ia diberikan kepada syarikat besar, sedangkan subsidi sepatutnya diberikan kepada golongan sasar seperti mereka yang miskin. Kita sekarang dalam proses mahu memperbetulkan konsep ini supaya dijadikan subsidi bersasar,” katanya semalam, menurut Bernama.
Beliau berkata beliau telah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengadakan libat urus dengan syarikat besar terutama pihak industri supaya tidak berlaku kenaikan harga barang.