
Tindakan itu akan dijalankan menerusi kaedah melekatkan kod di lesen memandu bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan di mana pesalah itu menerima latihan pemanduan.
Bagaimanapun, Zailani berkata, kaedah itu masih dalam peringkat cadangan, namun akan disenaraikan di bawah sistem e-Testing yang selepas dilancarkan pada 1 April nanti.
“Kita dalam proses memberi kod di lesen memandu, jika didapati melakukan kesalahan (jalan raya) atau terbabit dalam kemalangan, dapat dikenalpasti pesalah itu ‘lahir’ dari institut memandu mana.
“Kaedah ke arah pendigitalan ini dijadikan seperti ‘audit tracking’ untuk mengetahui ada sesuatu yang tidak kena atau pengajaran serta modul yang tidak diikuti dengan betul.
“Jika banyak rekod kesalahan atau kemalangan jalan raya termasuk menyebabkan kemalangan maut dikesan dari sesuatu institusi memandu ini, kita tidak teragak-agak menggantung atau membatalkan permit,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Mengulas lanjut, Zailani berkata, Jawatankuasa Pelesenan Institut Memandu mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sama ada menggantung atau membatalkan permit sesebuah institusi memandu dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang tidak berkelayakan.
Katanya, tindakan yang bakal dikenakan itu disifatkan sebagai bentuk pengajaran kepada calon serta institusi memandu agar memberi latihan mengikut modul dengan cara yang betul.
“Bagi permit institut memandu, tindakan boleh diambil mengikut Kaedah 27 di bawah Kaedah-kaedah Sekolah Memandu 1992 untuk menggantung dan membatalkan permit bagi yang melanggar syarat permit.
“Kaedah 28 di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor 1992 pula bagi tindakan menggantung dan membatalkan sijil mengajar pengajar institut memandu jika guru sekolah memandu terbabit melanggar syarat, tidak berkelayakan atau terbabit jenayah,” katanya.