‘Saya sempat dengar isteri sebut Allahuakbar sebelum dirempuh’

‘Saya sempat dengar isteri sebut Allahuakbar sebelum dirempuh’

Mohd Nazri Hamid, menceritakan kejadian kemalangan yang meragut nyawa isteri serta tiga anaknya di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong, Pahang semalam.

Jenazah empat beranak dikebumikan dalam satu liang lahad di Perkuburan Islam Kampung Panchor, Pengkalan Chepa, hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
“Saya hanya sempat mendengar arwah isteri menyebut Allahuakbar sebelum kami dirempuh kenderaan itu,” demikian diceritakan Mohd Nazri Hamid, 44, mengenai kejadian kemalangan yang meragut nyawa isteri serta tiga anaknya di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong, Pahang petang semalam.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaiki mereka sekeluarga dirempuh sebuah pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dan kejadian itu menyebabkan guru bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Aring, Gua Musang, Raihan Mohamad, 43, serta tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan, 4, maut.

Mohd Nazri, yang juga seorang guru di sekolah sama berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari rumah di kuarters kediaman guru di sekolah itu pada pukul 10 pagi menuju ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kenduri anak saudara Raihan di Kajang yang akan berlangsung hari ini.

Menurutnya, perjalanan itu turut diiringi abang iparnya yang menaiki kereta jenis Mitsubishi Pajero bersama dua anaknya lagi Ahda Fasihah, 11, dan Ahmad Awaz, 12, yang terselamat dalam kejadian itu.

Impak kemalangan menyebabkan kenderaan mangsa remuk teruk di bahagian hadapan dan sebelah kiri manakala pikap itu rosak di bahagian hadapan, menurut polis. (Gambar Facebook)

“Ketika tiba berhampiran lencongan di Sungai Koyan, ada sebuah treler terbalik sekali gus membuatkan perjalanan tergendala sekitar 30 minit. Selepas itu, saya meneruskan perjalanan untuk ke Karak-Kuala Lumpur dan ketika itulah kenderaan yang dipandu saya dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

“Kejadian itu menyebabkan isteri dan tiga anak kami tercampak keluar dari kenderaan…saya tidak sempat berbuat apa-apa dan tidak nampak kehadiran kenderaan itu di hadapan kereta kami,” ujarnya sebak ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Mukim Panchor, Pengkalan Chepa, hari ini.

Jenazah empat beranak yang maut dalam kejadian itu dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan tersebut pada 9.50 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah tiba dengan van jenazah pada 8.30 pagi dan disembahyangkan di Masjid As-Siddiqin, Panchor yang diimamkan oleh suami mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.