
Ketua Polis Subang Jaya, Abd Khalid Othman berkata, kejadian itu disedari seorang pekerja taman tema berkenaan selepas melihat klip video itu di YouTube semalam, yang menceritakan bagaimana dua daripada mereka menyelinap masuk tanpa membeli tiket.
Katanya, video berkenaan dimuatnaik seorang lelaki menggunakan akaun YouTube ‘Ryaan Key’
“Suspek menceroboh masuk dengan cara melompat dari dinding pintu ‘surfbeach’ terus ke dalam kolam taman tema dengan mencampakkan telefon bimbit ke dalam kawasan taman tema.

“Suspek memperdaya pekerja taman tema dengan mengatakan tertinggal telefon bimbit di dalam taman tema lalu dibenarkan masuk seterusnya suspek terus tidak dapat dikesan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang pengguna Youtube.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi pihaknya di talian 03-56210343.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kawasan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya.