JPJ siasat akaun media sosial tuduh pegawai terlibat sindiket ‘lesen terbang’

JPJ siasat akaun media sosial tuduh pegawai terlibat sindiket ‘lesen terbang’

JPJ nafi penglibatan pegawainya dalam sindiket 'lesen terbang' seperti ditularkan menerusi hantaran dimuat naik oleh pemilik satu akaun Twitter.

KUALA LUMPUR:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan penglibatan pegawainya dalam sindiket ‘lesen terbang’ seperti ditularkan menerusi hantaran dimuat naik oleh pemilik satu akaun Twitter.

Ketua Pengarah Zailani Hashim berkata pemilik akaun berkenaan berkongsikan tangkap layar akaun Instagram menggunakan nama Smart Driving Academy, dipercayai menawarkan khidmat mendapatkan lesen dengan kadar bayaran rendah tanpa perlu menghadiri kelas dan ujian memandu.

“Modus operandi ini sering kali digunakan sindiket melalui platform media sosial dengan mempromosikan iklan ‘lesen terbang’ selain menggunakan gambar Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk meyakinkan orang ramai membuat bayaran sebelum sindiket bertindak menghilangkan diri.

“Kenyataan di tangkap layar itu turut menyatakan pihak Smart Driving Academy menjalankan kegiatan tersebut dengan penglibatan pegawai atasan JPJ selain pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam kenyataan.

JPJ dengan kerjasama SPRM, polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Cyber Security sedang mengesan pemilik akaun di media sosial yang menjalankan sindiket penipuan itu.

Jelasnya, pelbagai pendekatan turut dilaksanakan oleh JPJ dalam mengekang penglibatan warga kerjanya daripada terlibat aktiviti tidak berintegriti.

“Antaranya inisiatif pembangunan sistem yang mewajibkan pengesahan ID penyelia atau pegawai kanan sebelum sebarang transaksi pengeluaran LLM dilaksana serta pemantauan dan pengauditan urus niaga di bawah ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS).

“JPJ juga menegaskan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku membabitkan warga kerja yang melibatkan integriti, salah guna kuasa dan rasuah khususnya melibatkan aktiviti ‘lesen terbang’ seperti didakwa pemilik akaun Twitter terbabit,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai untuk tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk tawaran seumpama itu yang jelas tidak mengikut peraturan dan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.