Henti kelirukan orang ramai mengenai indeks persepsi rasuah, kata Santiago

Henti kelirukan orang ramai mengenai indeks persepsi rasuah, kata Santiago

Ahli Parlimen Klang itu berkata Wan Junaidi telah "salah faham" dan beliau perlu lebih teliti apabila menjelaskan mengenai kes rasuah yang meningkat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar perlu lebih teliti apabila menjelaskan mengenai kes rasuah, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak seharusnya mengelirukan orang ramai mengenai sebab mengapa Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia turun, kata Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata Wan Junaidi telah “salah faham” dan beliau perlu lebih teliti apabila menjelaskan mengenai kes rasuah yang meningkat di negara ini.

“Sebenarnya, jika kerajaan menyiasat lebih banyak kes rasuah, markah akan meningkat. Hanya apabila anda cuba menutup kes tersebut (indeks) akan mula jatuh,” katanya kepada FMT.

Semalam, Wan Junaidi berkata kemerosotan kedudukan CPI Malaysia adalah disebabkan pendedahan secara meluas terhadap usaha memerangi rasuah dan bilangan kes di mahkamah.

Beliau berkata tindakan keras terhadap kes melibatkan agensi penguatkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini telah meningkatkan persepsi bahawa rasuah semakin berleluasa di negara ini.

Mengulas lanjut, Santiago berkata kerajaan sepatutnya meningkatkan usaha untuk menyiasat kes rasuah kerana ia akan memupuk kepercayaan dalam kalangan orang ramai dan komuniti perniagaan bahawa ia mahu mengurangkan rasuah.

“Satu contoh kes ialah isu yang melibatkan Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM). Terdapat banyak bukti dan elemen penyalahgunaan kuasa dan rasuah, tetapi setakat ini tiada perkembangan.

“Pada masa sama, hakikatnya kita tahu bekas Perdana Menteri (Najib Razak) didapati bersalah menyalahguna kuasa, manakala pemimpin parti politik (Ahmad Zahid Hamidi), dalam kes ini, Umno, telah diperintah bela diri di mahkamah atas tuduhan sama.

“Jadi secara jelasnya apabila institusi terkemuka dan pemimpin politik terlibat dalam rasuah, ini memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Ini sebabnya mengapa penarafan CPI telah turun,” katanya.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata, Wan Junaidi tidak seharusnya bersikap “kurang bijak” mengenai punca sebenar penurunan dalam CPI dan ia adalah “alasan yang bodoh”.

“Kami menggesa beliau melihat pentadbirannya secara jujur, ‘katak politik’ dan tahap integriti yang teruk dalam kalangan institusi seperti SPRM, Jabatan Peguam Negara dan polis.

“Isu-isu seperti kebocoran besar dalam sistem perolehan, konflik kepentingan, kurangnya undang-undang untuk menyemak perolehan kekayaan secara haram serta pembiayaan politik dalam negara juga harus diteliti,” katanya.

Beliau menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) segera bagi membina semula kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan dan institusinya.

“Kerajaan juga perlu menebus semula kredibiliti SPRM dengan melantik Ketua Pesuruhjaya yang baharu. Ini boleh dilakukan menerusi proses yang bertanggungjawab dan telus,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yiii berkata daripada mengakui punca utama peningkatan rasuah di negara ini, Wan Junaidi enggan menerima kenyataan walaupun beliau adalah menteri yang dipertanggungjawab untuk menegakkan undang-undang.

Awal minggu lalu, Transparency International (TI) mengeluarkan laporan tahunan CPI 2021 yang mana Malaysia turun lima tangga kepada kedudukan 62. Ia adalah tahun kedua berturut-turut kedudukan negara jatuh selepas turun enam anak tangga kepada nombor 57 dalam laporan CPI 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.