
Pencen lebih besar diberikan kepada mereka yang bersara selepas perubahan dibuat kepada Akta Pencen pada 2013.
Diketuai bekas ketua staf angkatan tentera Nawi Alias, kumpulan itu terdiri daripada 12 pesara pegawai tentera udara, tentera darat dan tentera laut. Mereka telah bertemu untuk membincangkan tindakan seterusnya.
Nawi, bekas leftenan jeneral tentera udara, berkata salah pada mulanya untuk membiarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memutuskan pencen bekas anggota tentera kerana “semua gaji dan elaun dikawal oleh Majlis Angkatan Tentera”, iaitu pihak berkuasa tertinggi membuat keputusan untuk pasukan pertahanan.
“Anomali itu serius. Sebagai contoh, pegawai waran 1 yang bersara sebelum 2013 mendapat pencen kira-kira RM2,000 manakala mereka yang bersara selepas itu menerima RM4,000.
“Sama dengan semua pangkat lain, pegawai bertauliah atau tidak bertauliah,” katanya kepada FMT.
Nawi, yang menganggotai Majlis Angkatan Tentera sebelum bersara, berkata kumpulan itu dibantu oleh penasihat undang-undang dan usaha ini akan memanfaatkan kira-kira 200,000 pesara.
“Kami memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan, ketua pasukan pertahanan dan Ketua Setiausaha kementerian,” katanya.
“Jika kementerian dan Majlis Angkatan Tentera tidak ambil tindakan, kami sedang pertimbang cara undang-undang untuk mendapatkan hak kami.”
Ini susulan langkah beberapa hakim bersara dan tanggungan mereka memfailkan saman memohon penyelarasan bayaran pencen mereka dengan berkata, ia patut berdasarkan gaji semasa hakim yang sedang berkhidmat.
Plaintif – 28 bekas hakim yang berkhidmat di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak serta tujuh orang tanggungan hakim yang telah meninggal dunia – memohon beberapa deklarasi daripada Mahkamah Tinggi.
Pada 13 Jan, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan bahawa pindaan kepada Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan), yang berkuat kuasa pada Januari 2013, bercanggah dengan perlembagaan.
Hakim Darryl Goon yang menyampaikan penghakiman berkata, pindaan itu melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan kerana mana-mana skim pencen baharu tidak boleh kurang baik daripada skim sebelumnya.
Bawah skim lama, pencen pesara kerajaan disemak dengan merujuk kepada gaji semasa penjawat awam.
Bagaimanapun, bawah skim yang diperkenalkan pada 2013, pesara mendapat kenaikan tahunan pada kadar rata 2%.