
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah berkata, dalam kes pertama dua hari lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang cuba melarikan diri apabila melihat kehadiran polis ketika dia sedang memegang satu kotak berisi tujuh bungkusan syabu seberat 7.17kg di Lorong Ranggung Batek, Likas.
Beliau berkata, ini kemudiannya membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki berusia 52 tahun yang dipercayai terlibat dalam proses jual beli dadah di sebuah lokasi di Luyang, sebelum disusuli dengan satu lagi tangkapan seorang lelaki berusia 50 tahun di hadapan pusat beli belah di Alam Mesra, kira-kira pukul 2 petang semalam
“Hasil pemeriksaan di dalam beg silang yang dibawanya, polis menemui syabu seberat 1.02kg,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Kampung Bantayan, Inanam yang membawa kepada penemuan 1.02kg syabu dan 1kg ketamin.
Mohd Zaidi berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket itu ialah membuat pesanan dadah dari Semenanjung dengan menggunakan khidmat penghantaran kurier.
“Mereka didapati menggunakan bungkusan produk berasaskan kelapa untuk mengaburi mata pihak polis. Dadah yang dirampas dipercayai untuk kegunaan sendiri dan dijual juga kepada penagih sekitar Kota Kinabalu,” tambahnya.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.